“INI bukan silibus Radzi Jidin.”
Itu kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin mengulas tindakan beberapa pihak yang mengambil kesempatan dan cuba mempolitikkan isu silibus pembelajaran, ketika ini.
Isu itu kembali hangat dibincangkan selepas guru Matematik, Mohd. Fadli Mohamed Salleh bakal dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai sukatan pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai untuk murid.
Menurut Radzi, silibus yang digunakan di sekolah bukan baru dibangunkan Kementerian Pendidikan (KPM), sebaliknya ia sudah mula digunakan sejak 2017 dan digubal lebih awal dari itu.
“Ini bukan silibus Radzi Jidin. Silibus ini mula digunakan pada 2017 dan untuk bangunkan silibus ini, ia ambil masa dan prosesnya bermula lebih lama dari itu dan dibangunkan oleh guru dan pegawai pendidikan.
“Selepas digubalkan, kita tak boleh tukar secara kerap kerana akan sukarkan guru dan murid untuk sesuaikan diri dengan silibus baharu. Pendekatan kita adalah setiap silibus akan dinilai semula selepas habis satu pusingan.
“Ini bererti murid darjah 1 yang mula menggunakan silibus ini pada 2017 akan berakhir satu pusingan apabila mereka masuk darjah 6 tahun ini. Jadi, silibus untuk sekolah rendah selesai tahun ini, manakala sekolah menengah sudah selesai tahun lalu.
“Apabila selesai pusingan ini, KPM akan meneliti semula silibus. Ini kita sedang laksanakan dan KPM menghargai pandangan guru dan ibu bapa berhubung isu silibus ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Reading Progress Di Sekolah KPM, Shah Alam, hari ini lapor BH Online.
Leave a Reply