Didapati tak bersalah, Cikgu Fadli ucap syukur, terima kasih

“SAYA bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepada saya tidak kira bangsa dan agama kerana mereka faham dan tahu saya dizalimi,” kata guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh dalam reaksinya selepas didapati tidak bersalah oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan terhadap tiga pertuduhan ke atasnya.

Mohd Fadli atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli menjelaskan, maksud dizalimi itu ialah tidak sepatutnya tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat dikenakan ke atasnya, walaupun mungkin ada salah silap daripada pihaknya sendiri.

Beliau yang kini tular berikutan lantang membicarakan kepincangan sistem pendidikan di negara ini bagaimanapun berkata, perjuangannya untuk merubah silibus pembelajaran yang dakwanya terlalu tinggi dan tidak sesuai akan diteruskan.

“Itu adalah perjuangan asal saya dan saya mahukan perubahan dalam pendidikan. ‘Kerosakan’ itu perlu dibaiki tetapi bukan semuanya ‘rosak’, kerana masih ada yang baik lagi.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada peguam, Nor Zabetha Muhamad Nor yang mewakili saya dalam kes ini,” kata guru sekolah rendah di Gombak, Selangor itu lapor Harian Metro.

Sementara itu, satu surat daripada Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan mendedahkan yang mana ia memutuskan ketiga-tiga pertuduhan terhadap Mohd Fadli didapati tidak bersalah dan dibebaskan daripada tindakan tatatertib.

Surat berkenaan ditandatangani Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Cikgu Fadli, guru sekolah rendah di Gombak, Selangor tiga hari lalu berkongsi surat tindakan diterimanya di Facebook, susulan kelantangan beliau membantah silibus subjek Matematik bagi murid sekolah rendah, yang disifatkan terlalu tinggi dan tidak berpadanan dengan keupayaan pelajar.

Beliau juga sebelum ini kerap menyuarakan kebimbangan mengenai berat beg sekolah yang terpaksa ditanggung murid, akibat kepadatan jadual pembelajaran.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *