Ceramah MUDA diganggu: Jamal sifatkan Syed Saddiq berdrama

KETUA Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyifatkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebagai berdrama susulan insiden ceramahnya diganggu oleh ‘mat motor’.

Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar sebaliknya memuji Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, Mohd Helmy Abd Latif apabila tampil membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan saman selepas dituduh sebagai dalang kejadian gangguan itu oleh Syed Saddiq.

“Steady Ketua Pemuda UMNO Muar buat laporan polis dan saman tuduhan tidak berasas Syed Saddiq dan MUDA yang emosi kelmarin.

“MUDA dan Syed Saddiq mana mungkin nak lapor polis, dia sendiri rancang, siap ada video maafkan ‘mat motor sebagai ‘ending’ (pengakhiran) drama,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitternya.

Media sebelum itu melaporkan ceramah mega yang dibarisi kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan MUDA kelmarin diganggu sekumpulan ‘mat motor’.

Gangguan tercetus ketika giliran Syed Saddiq menyampaikan ucapannya sebelum ceramah diteruskan dan keadaan berjaya dikawal oleh anggota polis serta sukarelawan yang bertugas.

Berikutan itu, Pemuda UMNO Bahagian Muar semalam dilaporkan membuat laporan polis selain mahu mengambil tindakan saman terhadap dakwaan Syed Saddiq bahawa mereka terbabit mengganggu ceramah dihadiri penyandang Ahli Parlimen Muar berkenaan.

MUDA Johor dalam laporan Berita Harian pula menafikan dakwaan gangguan sekumpulan ‘mat motor’ yang memprovokasi ceramah mega Pakatan Harapan (PH) di Muar kelmarin, sebagai gimik politik parti itu.

Pengerusi MUDA Johor, Azrol Rahani, dilaporkan berkata, tuduhan berkenaan tidak berasas dan berniat jahat.

Sehubungan itu, katanya, laporan polis sudah dibuat MUDA Bahagian Muar semalam berikutan provokasi itu, selain bagi menafikan pembabitan MUDA yang didakwa membuat gimik politik.

Syed Saddiq turut dilaporkan memaafkan kumpulan anak muda yang cuba menimbulkan provokasi ketika beliau ingin berceramah Ahad lalu.

Dalam hantaran video di akaun Facebooknya, Syed Saddiq menyatakan bahawa kumpulan itu bukanlah musuhnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *