Remaja masih bersekolah antara ditahan sertai parti liar

REMAJA bawah umur yang masih bersekolah merupakan antara 22 individu yang ditahan menyertai ‘parti liar’ di sebuah banglo di Batu Feringghi, Pulau Pinang ditahan polis dalam serbuan pada 13 Oktober lalu.

Kesemua mereka iaitu 14 lelaki dan lapan wanita tempatan berusia 16 hingga 21 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 1.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mereka didapati berkongsi wang untuk menyewa banglo tiga tingkat itu dengan kadar bayaran RM1,000 sehari.

Menurutnya, setiap peserta dijemput menghadiri parti itu menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp dengan bayaran antara RM80 hingga RM100 seorang.

”Kita juga mendapati lapan peserta perempuan yang ditahan tidak dikenakan sebarang bayaran kerana dibayar oleh peserta lelaki.

“Dalam serbuan itu, polis juga telah merampas dua peket dadah jenis ketamin seberat 0.9 gram bernilai RM150 serta tiga biji pil ekstasi dengan anggaran berat 1.6 gram bernilai RM45,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.

Menurut Soffian, hasil saringan air kencing ke atas 22 individu berkenaan juga mendapati enam individu lelaki didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Tambahnya, kesemua tangkapan ditahan reman selama enam hari bermula 13 Oktober hingga 18 Oktober untuk siasatan mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta yang sama.

“Kesemua tangkapan juga diserahkan kepada Unit Agama dan Kaunseling, Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) IPD Timur Laut untuk sesi kaunseling dan ceramah yang turut dihadiri waris terdekat mereka,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *