MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) berharap kerajaan melaksanakan segera polisi laluan hijau bagi membantu memudahkan urusan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Ahli MPN, Datuk Michael Kang Hua Keong berkata, polisi itu penting terutama, untuk memulihkan semula situasi ekonomi negara yang terkesan sejak pandemik melanda pada 2020.
Katanya, polisi sedemikian dapat membantu mengatasi masalah birokasi, terutama dalam isu pengambilan pekerja asing dan masalah kewangan PMKS.
“Kerajaan perlu melaksanakan polisi laluan hijau ini supaya setiap urusan dibuat PMKS yang terjejas dapat dipermudahkan sebagai contoh, urusan pengambilan pekerja asing.
“Jika ada majikan membuat permohonan mendapatkan sejumlah pekerja asing segera, luluskan dahulu 50 peratus daripadanya supaya mereka dapat meneruskan perniagaan yang terjejas.
“Baki 50 peratus lagi boleh diluluskan selepas segala urusan dokumen selesai sepenuhnya kerana ia sudah pasti akan mengambil masa lama,” katanya lapor Berita Harian.
40.5 peratus kuota dilulus
Michael berkata, sehingga September lalu 1.15 juta permohonan kuota pekerja asing diterima daripada semua sektor dengan 40.5 peratus atau 467,223 kuota sudah diluluskan.
Namun katanya, sehingga 12 September lalu, hanya 76,000 pekerja asing dibawa masuk ke Malaysia, sekali gus menjejaskan pelbagai sektor sehingga terpaksa menanggung kerugian besar.
“Difahamkan pada bulan ini ada kemasukan 100,000 sehingga 200,000 lagi pekerja asing, tetapi jumlah ini masih tidak mencukupi berbanding permintaan dan negara memerlukan sekurang-kurangnya 500,000 lagi pekerja asing.
“Justeru, MPN berpandangan langkah segera perlu diambil bagi mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing dalam semua sektor industri bagi menyokong proses pemulihan negara,” katanya.
Michael berkata, ketika ini tiga sektor terjejas teruk sehingga turut memberi kesan kepada negara dan rakyat adalah pembinaan, pelancongan dan peruncitan.
Katanya, sektor itu terjejas teruk turut berpunca daripada masalah kekurangan tenaga pekerja asing.
“Seperti kita sedia maklum, industri pelancongan ketika ini belum pulih sepenuhnya kerana hotel atau pusat penginapan, terutama di pusat pelancongan tidak dapat beroperasi sepenuhnya akibat kekurangan pekerja.
“Kekurangan pengunjung atau pelancong itu turut menyebabkan sektor peruncitan, terutama di kawasan pelancongan terjejas dan sudah pasti sukar mendapatkan keuntungan daripada jualan,” katanya.
Selain bagi memudahkan urusan pengambilan pekerja asing, Michael berkata polisi laluan hijau juga penting terutama dalam setiap urusan di institusi kewangan.
Katanya, dalam keadaan sekarang terlalu banyak PMKS yang terjejas pendapatan dan mereka amat memerlukan bantuan aliran tunai serta pembiayaan bagi memastikan perniagaan tidak terus mengalami kerugian.
Beliau berkata, berdasarkan laporan Firm’s Recovery From COVID-19 in Malaysia, Business Pulse Survey, February-March 2022, hanya 39 peratus firma di negara ini mempunyai aliran tunai tersedia kurang daripada satu bulan.
PMKS perlu sokongan
Sebanyak 23 peratus firma mengalami masalah kelewatan pembayaran oleh pelanggan sekurang-kurangnya tiga bulan, manakala 11 peratus difailkan insolvensi.
“PMKS yang berdepan masalah berkenaan sudah pasti amat memerlukan sokongan daripada kerajaan, terutama dalam bentuk geran atau pembiayaan khas untuk memulihkan perniagaan mereka.
“Oleh itu MPN berharap kerajaan dapat bekerjasama dengan institusi perbankan supaya PMKS diberikan pembiayaan tanpa faedah atau moratorium untuk tempoh enam sehingga 12 bulan lagi kerana ia pasti dapat membantu pengusaha yang terbabit untuk mengembalikan semula perniagaan mereka,” katanya.
Leave a Reply