BEKAS Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan penerbit serta pengarah Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, antara dua individu yang disenaraikan oleh Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Negeri Sembilan.
Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail, berkata Abdul Hamid termasuk dalam senarai yang dicadangkan sebagai calon gabungan itu untuk bertanding di Parlimen Rembau.
Katanya, manakala Ahmad Idham pula dicadangkan sebagai calon untuk bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson.
“Kedua-dua nama individu berkenaan termasuk dalam senarai yang saya bawa ke peringkat pucuk pimpinan sebagai calon GTA Negeri Sembilan menerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
“Hamid Bador dicalonkan bagi Parlimen Rembau manakala Ahmad Idham bagi kerusi Parlimen Port Dickson.
“Keputusan sama ada mereka terpilih sebagai calon atau sebaliknya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti,” katanya lapor Harian Metro, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Jani yang juga Timbalan Pengerusi GTA serta Ketua Pejuang Negeri Sembilan, berkata GTA perlu meletakkan nama besar seperti Abdul Hamid dan Ahmad Idham bagi memberikan saingan sengit di kedua-dua kerusi terbabit.
“Bagi saya buat masa ini dialah (Abdul Hamid) calon paling terbaik untuk GTA di Parlimen Rembau, lebih-lebih lagi Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dikhabarkan akan bertanding di situ kali ini,” katanya.
Beliau berkata, walaupun keputusan muktamad akan ditentukan oleh pucuk pimpinan tidak lama lagi, namun Ahmad Idham yang baru dilantik sebagai Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan, dilihat tokoh yang boleh memberikan saingan di kerusi Port Dickson.
“Kita (GTA) perlu letakkan nama besar seperti Abdul Hamid dan Ahmad Idham untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya kali ini,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, GTA Negeri Sembilan menyambut baik dan menyokong penuh hasrat gabungan itu untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15 ini.
“GTA Negeri Sembilan sambut baik usaha menjalinkan kerjasama dengan PN dan yakin ianya akan dapat memperkukuhkan lagi gerak kerja jentera pilihan raya bagi mencapai kemenangan besar,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Jani berkata, pelancaran jentera pilihan raya gabungan itu bagi peringkat Negeri Sembilan dijadual akan diadakan pada 23 Oktober ini.
“Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan akan hadir dan melancarkan program berkenaan, yang akan diadakan di Senawang,” katanya.
Leave a Reply