guane

“AKU menggunakan formula sendiri ketika mencipta melodi sesebuah lagu sebelum digubah mengikut kesesuaian penyanyi.

“Setiap pencipta mempunyai formula masing masing ketika mencipta lagu.  Formula inilah yang akan menentukan corak dan imej muzik seseorang komposer.

“Malah, dengan formula inilah orang dapat mengenali bentuk muzik A.Ali, Ahmad Nawab, M.Nasir, Manan Ngah, S Atan dan ramai lagi…

“Mungkin tidak lama lagi orang akan mengenali muzik aku,” ujar komposer terkenal Wan Zul atau nama sebenarnya Che Wan Zulkifli Abdul Ghani kepada penulis dalam pertemuan di Hulu Klang, Selangor tidak lama dahulu.

Bagaimanapun, ini cerita pada bulan September tahun 1990 dahulu ketika dia baru berusia 30 tahun dan mula menjinakkan diri dengan dunia hiburan tanah air.

Ketika itu penulis merupakan seorang wartawan hiburan manakala Wan Zul pula baru sahaja menyiapkan penerbitan album pertama kumpulan IKLIM berjudul ‘Satu Kesan Abadi’.

Album ini turut memuatkan lagu  ‘berhantu’ iaitu ‘Suci Dalam Debu’, lirik ditulis S. Amin Shahab.

Memandangkan Wan Zul dan anggota Kumpulan IKLIM iaitu Saleem (penyanyi), Umarul (gitar utama), Mohalim (bass), Huzali (keyboard) dan Kama (drum) berasal dari Terengganu, hubungan kami menjadi semakin akrab.

Menurut Wan Zul, sewaktu mencipta lagu dia lebih suka mewujudkan muzik daripada corak epksperimental, bukan secara stereotype.

Malah katanya, dengan cara itu sahaja keindahan dan kesegaran sebenar sesebuah lagu diperoleh dan dinikmati.

Komposer yang dilahirkan di Dungun dan dibesarkan di Kijal, Kemaman ini mula melibatkan diri secara langsung dalam bidang muzik pada tahun 1987 dengan mencipta lagu  ‘Firasatku’ nyanyian seniman Junaidi artis A. Ali Production.

Selepas itu dia menghilangkan diri buat seketika sebelum berganding tenaga dengan penyanyi lagu-lagu puisi Dr Wan Zawawi, iaitu saudara sepupunya pada tahun 1988 diikuti mencipta lagu untuk penyanyi kanak-kanak, iaitu Melor.

Pada tahun 1989 Wan Zul nekd untuk bergiat semula dibidang ini dengan mencipta dan menulis lirik lagu beberapa penyanyi tanah air.

Antara lagu-lagu yang pernah dihasilkan ialah ‘Tentangan’ (Roy), Demi Untukmu’, ‘Itu Itulah’ (Aris Ariwatan), ‘Kau Jua Pilihankku’ (Hayat), ‘Peralihan Zaman’, ‘Ke Sangkar Bahagia’ (Dayangku Intan), ‘Arah Yang Hilang'(Lefhanded) dan ‘Satu Persinggahan’ (Ekamatra).

Meskiipun begitu, sebagai orang baharu nama Wan Zul seakan tenggelam disebalik populariti komposer terkenal lainnya seperti M.Nasir yang ketika itu banyak mendominasi penerbitan album kumpulan rock.

Namun, selepas lagu ‘Satu Persinggahan’ nyanyian Rahmat Ekamatra mendapat sambutan barulah nama Wan Zul mula dikenali.

Kejayaan komposer ini terbukti dan namanya semakin memuncak apabila album pertama IKLIM mendapat sambutan menggalakan para peminat hiburan tanahair sehingga terjual melebihi 200,000 unit.

Susulan itu, Wan Zul kemudian terus diberi peluang menerbit dan mengawal vokal beberapa penyanyi lain seperti Wann, Zamree dan Shidee.

Selain Suci Dalam Debu, beberapa lagu kumpulan Iklim ciptaannya terus diminati hingga kini antaranya, ‘Aduhai Seribu Kali Sayang,’ ‘Kerana Takdir’dan ,’Biografi Cinta Luka’.

Lagu popular lain ciptaannya ialah ‘Antara Sutra Dan Bulan’ (Damasutra), ‘Itulah Cintaku’ (Ilusi), Di ‘Badai Asmara’ (Sera) dan ‘Khazanah Dari Malaya’ (Ayati Tasrip).

Sepanjang kariernya, Wan Zul juga pernah bertugas dengan syarikat rakaman Ambang Klasik, anak syarikat TV3.

Selepas berasakan industri muzik berada dalam keadaan kritikal dan semakin mengecil ekoran banyak operasi syarikat rakaman ditutup Wan Zul akhirnya membuat keputusan pulang ke Terengganu dan mengusahakan restoran makanan dinamakan Restoran Suci Dalam Debu’ di Kijal Kemaman pada tahun 2007.

Sewaktu di Terengganu, penulis bertemu secara bersemuka hanya sekali dengan Wan Zul ketika prkgram Himpunan Anak Seni Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada tahun 1997.

Pada 6 Oktober lalu, penulis dihubungi seorang kawan bertanyakan betul ke komposer lagu ‘Suci Dalam Debu’ sedang kritikal lalu penulis hubungi Mohalim IKLIM mengenai perkara tersebut.

Mohalim mengesahkan bahawa Wan Zul ketika itu sedang diberikan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kemaman sejak 2 Oktober lalu kerana sakit kencing manis dan jangkitan kuman pada paru-paru.

Akhirnya pada pukul 2.30 pagi,13 Oktober komposer berusia 61 tahun ini dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhir.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Kijal, Kemaman, Terengganu pada hari berkenaan.

Allahyarham Wan Zul meninggalkan seorang balu, Tengku Siti Famah dan dua anak iaitu Che Wan Norsyikin dan Che Wan Noradli.

Berdasarkan tarikh kematian Allahyarham Wan Zul pada 13 Oktober 2022, penulis mendapati pemergian penyanyi ‘Suci Dalam Debu’, Saleem juga pada bulan Oktober, iaitu 14 Oktober 2018.

Kini lagu tersebut yang masih menjadi siulan ramai hanya tinggal kenangan. Al-fatihah untuk Allahyarham Wan Zul dan Saleem.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here