KEPUTUSAN Majlis Tertinggi Pakatan Harapan (PH) untuk tidak membubarkan ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran mereka supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan serentak dengan Parlimen menunjukkan DAP tidak berkuasa di dalam Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, keputusan itu juga tidak menghormati DAP apabila permintaan pemimpin parti itu untuk mengadakan pilihan raya DUN serentak ditolak Majlis Tertinggi PH.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Gerakan Pusat berkata, situasi itu seolah-olah menunjukkan Ketua Menteri yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow serta Pengerusi DAP Pusat, Lim Guan Eng tidak mempunyai pengaruh.
“Kita kecewa dengan keputusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyerah kalah kepada PH.
“Keputusan PH dan ketidakupayaan DAP Pulau Pinang untuk menentang itu meletakkan rakyat Pulau Pinang dalam masalah dan malu kerana buat pertama kali dalam PRU terpaksa keluar mengundi dua kali.
“Jika mereka berdepan kesukaran dari segi untuk mengatur kerja dan masa kerana terpaksa mengundi dua kali, ia akan menghalang sistem demokrasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fokus tiga kerajaan negeri itu kini lebih tertumpu ke arah masalah mendesak berkait banjir.
Dalam pada itu, Tong Keong merayu pengundi Pulau Pinang melihat dengan jelas ketidakcekapan DAP dalam isu pembubaran DUN dan mengadakan pilihan raya serentak tersebut.
Jelasynya, penduduk Pulau Pinang perlu menyatakan rasa tidak puas hati terhadap PH dan DAP pada pilihan raya akan datang.
Leave a Reply