Senarai cadangan calon Srikandi BERSATU PRU-15 diserah minggu depan

SENARAI nama calon Srikandi BERSATU untuk dipertimbangkan bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diserahkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, minggu depan.

Mereka yang disenaraikan adalah dalam kalangan profesional dan berkaliber, bukan setakat ahli Srikandi yang berusia lebih 35 tahun, malah dalam kalangan pemimpin Srikandi Muda yang berusia kurang 35 tahun.

Naib Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beliau diamanahkan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun untuk melengkapkan senarai nama sebelum dibincangkan dalam kalangan pemimpin tertinggi sayap berkenaan.

“Kami akan bincang dan bawa kepada Presiden BERSATU antara esok hingga hujung minggu untuk dimuktamadkan. Oleh sebab ada beberapa negeri tidak bubar Dewan Undangan Negeri (DUN), jadi nama itu setakat babit negeri yang bubar DUN, selain peringkat Parlimen,” katanya, lapor Berita Harian.

Mas Ermieyati yang juga penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, berkata, calon Srikandi bukan setakat profesional, malah komited untuk melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat sama ada di DUN atau Parlimen, selain sumbangan kepada usaha BERSATU untuk menang PRU-15.

Enggan mendedahkan jumlah nama itu, beliau berkata, meskipun baharu berusia enam tahun, BERSATU komited untuk memberi perkhidmatan kepada komuniti melalui konsep perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum tanpa mengabaikan kepentingan Bumiputera.

“Saya yakin calon Srikandi akan turut diberikan keyakinan oleh pengundi untuk mewakili rakyat di DUN dan Parlimen kerana selama ini pun, wakil rakyat BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) sudah membuktikan kemampuan berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu disebut-sebut sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah pada PRU15 tidak lama lagi.

Sebelum ini, Mas Ermieyati dilaporkan berkata, jika diberikan keyakinan untuk memikul tugas berkenaan, beliau sedia menghadapi cabaran calon lawan, termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang disebut-sebut bakal mewakili BN di kerusi Parlimen itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *