PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN akan bertanding di 191 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), akan datang.
Beliau juga berkata, selain UMNO dan parti komponen BN yang lain termasuk parti politik dari Friends of BN juga akan mendapat peluang untuk bertanding di bawah gabungan itu buat kali pertama.
“Kami tidak akan pernah melupakan calon-calon yang datang dari Friends of BN. Ini pertama kali kita akan bagi peluang kepada calon-calon Friends of Barisan Nasional (bertanding di bawah BN),” katanya dalam mesyuarat tahunan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Bagan Datuk, Perak.
Friends of BN dianggotai Parti Makkal Sakti, Parti Cinta Malaysia (PCM), Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) dan Parti Punjabi Malaysia (PPM).
Makkal Sakti merayu untuk menyertai BN sejak ia ditubuhkan pada 2013 tetapi difahamkan, MIC telah menentang usaha parti itu untuk menjadi ahli gabungan itu. Tahun lalu, Zahid berkata, BN mungkin meletakkan calon parti itu pada PRU15.
Pada Jun lalu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dilaporkan berkata, kerusi parlimen dan DUN yang sebelum ini ditandingi Gerakan semasa berada di bawah gabungan itu mungkin ditandingi oleh Friends of BN dan beberapa parti komponen lain pada PRU15.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan berkata, gabungan itu menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen untuk membolehkan membentuk kerajaan.
“Setakat ini kita (BN) belum bercakap soal sasaran kerusi, tapi kita nak menang dan kita mesti mendapatkan atau melepasi 112 kerusi untuk pastikan kita dapat menubuhkan kerajaan pada pilihan raya akan datang.
“Itu sasaran kita. Jadi kita kalau boleh menang banyak lebih baik,” katanya dipetik Berita Harian sebagai berkata.
Leave a Reply