Oleh BADLISHAH MAT
POLIS akan merujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) membabitkan kes kematian bayi lelaki tiga bulan yang ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat dipukul bapanya untuk proses pendakwaan secepat mungkin.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, reman suspek yang berusia 28 tahun itu akan berakhir esok setelah lelaki terbabit ditahan polis pada 9 Oktober lalu.
“Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sepatutnya esok suspek akan tamat reman, jadi kita akan rujuk kepada TPR seberapa segara. Kalau boleh tuduh, kita akan terus lakukan proses itu.
“Namun, sekiranya belum dibenarkan untuk proses pendakwaan di mahkamah kita akan memohon sambung reman terhadap suspek,” katanya ketika ditemui pada Program Ramah Mesra Ketua Polis Kedah bersama Media di Alor Setar, hari ini.
Minggu lalu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) daripada Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menemukan bayi terbabit dalam keadaan tidak bernyawa ketika menyerbu rumah suspek di Kampung Teluk Jawa, Padang Hang di Alor Setar.
Ketika serbuan pada pukul 2.50 petang itu, suspek berada dalam keadaan khayal dan ujian air kencing mendapati dia positif methamphetamine.
Soal siasat awal polis mendapati, suspek mengaku memukul anaknya kerana enggan minum susu dan menangis tanpa henti.
Ibu bayi berkenaan yang berusia 22 tahun pula dipercayai keluar rumah bagi menyelamatkan diri sebelum kejadian menimpa anaknya itu kerana dia turut diugut bunuh oleh suspek selain tidak tahan apabila sering dipukul.
Tambah Wan Hassan, laporan bedah siasat terhadap bayi terbabit turut menemukan kesan kecederaan dipercayai akibat dipukul dengan menggunakan objek.
“Seperti kita sedia maklum, bayi yang berusia tiga bulan ini jika dihempas sahaja pun akan mendatangkan kecederaan serius, itu yang saya boleh kongsikan setakat ini,” katanya.
Leave a Reply