POLIS menafikan dakwaan kononnya kemalangan yang berlaku di Jalan Perusahaan Sungai Lokan, Seberang Perai, Pulau Pinang pada Rabu lalu disebabkan dikejar oleh tindakan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, siasatan mendapati kemalangan membabitkan dua buah motosikal itu berlaku pukul 5.20 petang.
Katanya, ketika kemalangan terbabit, dua anggota URB yang sedang menjalankan rondaan melalui Jalan Sungai Lokan dan dalam perjalanan menghala ke Sungai Dua.
“Tidak ada kejadian anggota URB mengejar salah seorang penunggang motosikal sehingga menyebabkan kemalangan seperti yang didakwa.
“Berdasarkan rakaman video terbabit juga jelas menunjukkan mangsa telah memotong motosikal URB sebelum merempuh sebuah lagi motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sejak kelmarin, tular di laman sosial sebuah video berdurasi 40 saat berhubung kemalangan dua motosikal yang didakwa disebabkan dikejar anggota URB.
Tambah Mohd. Radzi, anggota URB juga telah memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan dan menjalankan kawalan trafik bagi melancarkan lalu lintas.
Katanya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian sendiri tanpa usul periksa mengenai kejadian terbabit sehingga menimbulkan kegusaran kepada orang lain.
Leave a Reply