UMNO Bahagian Pontian mengusulkan supaya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dinamakan sebagai Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketuanya, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata ia antara tiga usul yang diputuskan UMNO bahagian berkenaan selain isu calon dan solidariti ahli parti.
“UMNO Pontian bersetuju mengusulkan supaya Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO diangkat sebagai Perdana Menteri jika BN menang PRU-15 nanti. Bagi kami, jaminan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri lebih sesuai dan tepat berbanding hanya ‘poster boy’ BN,” katanya, lapor Berita Harian
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pontian, di Pontian hari ini. Hadir sama, Setiausa Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian berkenaan.
Pada 18 September lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN dilaporkan mengesahkan Ismail Sabri kekal sebagai ‘poster boy’BN pada PRU-15.
Dalam pada itu, Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor merangkap Pengerusi BN Johor berkata, UMNO Pontian turut mengusulkan ahli parti supaya menyokong siapa juga calon yang diputuskan pucuk pimpinan.
“Sokongan tidak berbelah bahagi terhadap siapa jua calon parti adalah penting supaya semua jentera bergerak memastikan parti menang PRU-15 nanti.
“UMNO Pontian juga mengusulkan solidariti antara ahli parti perlu dikuatkan serta diperkukuhkan dan kita perlu bergerak bersama memenangkan siapa jua calon dikemukakan parti walaupun ia dari parti komponen,” katanya.
Leave a Reply