27 ‘kerusi kritikal’ Bersatu bincang dengan Pas

BERSATU akan berbincang dengan Pas berhubung isu pertandingan di 27 ‘kerusi kritikal’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, menegaskan hal itu akan diteliti bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Kita jumpa dahulu dan bincangkan dengan Presiden (PAS),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Penutup Retreat Media bersama Klien dan Sahabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Larut, lapor Berita Harian.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki, dilaporkan mendakwa, Bersatu sudah dimaklumkan supaya tiada pertembungan berlaku dengan UMNO di 27 ‘kerusi kritikal’ pada PRU-15 walaupun Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menggelar UMNO sebagai ‘musuh utama’.

Ia bagi memastikan kerusi berkenaan tidak jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) selepas Barisan Nasional (BN) dan PN memutuskan untuk tidak bekerjasama pada PRU-15.

Dalam perkembangan lain, Hamzah memberi bayang akan mempertahankan kerusi Parlimen Larut yang disandangnya.

“Nak saya bertanding di mana lagi?” jawabnya ketika ditanya mengenai perkara itu.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri yakin dengan penerimaan rakyat terhadap gerak kerja dan fungsinya selama ini.

“Apa yang paling penting ialah penerimaan rakyat kerana saya bukan sekadar membawa nama Parlimen Larut tetapi juga atas dasar kepentingan agama, bangsa dan negara. “Perjuangan saya konsisten,” katanya.

Hamzah memberi contoh Nabi Muhammad yang bertukar-tukar bendera ketika berperang namun perjuangan Baginda kekal konsisten.

“Sifat seorang pemimpin harus membawa imej pengikutnya dan saya bersyukur apabila Pas istiqamah untuk bersama Perikatan Nasional (PN) dalam memastikan perjuangan itu terus konsisten.

“Kalau mahu bersama, tak bolehlah memberikan syarat orang itu tak boleh, orang ini tak boleh. Jika nak semua, perlu bersekali supaya kita ada penyatuan dalam perjuangan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *