SATU sistem bersepadu untuk memudah cara proses penyaluran bantuan secara menyeluruh dan berpusat perlu dibangunkan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, langkah itu bagi memastikan tiada pihak yang tercicir daripada menerima bantuan.
“Hari ini, hampir semua agensi dan pihak kementerian masing-masing menyediakan bantuan, namun kita dapati masih ada individu atau kelompok yang tertinggal atau tercicir. Pada masa sama, ada pula yang menerima bantuan daripada dua tiga agensi berlainan.
“Dengan mengintegrasikan data penerima yang layak dari semua agensi dalam satu sistem yang sama, proses penyaluran bantuan termasuk subsidi dapat diselaras dan diagihkan secara telus dan cekap dengan seberapa cepat yang mungkin kepada golongan sasar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial anjuran Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA) di Putrajaya hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob; Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin; ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut Masa Depan Malaysia (MASA) dan ahli akademik.
Mengulas mengenai sistem bersepadu itu, Muhyiddin berkata, mekanisme tersebut akan berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial yang dapat mengenal pasti bantuan jangka masa pendek, sederhana dan panjang kepada rakyat yang layak memerlukan bantuan.
Katanya, langkah itu boleh mengurangkan karenah birokrasi dalam aspek penyampaian bantuan, sekali gus mengoptimumkan penggunaan kewangan negara.
“Sebagai contoh, Abu mempunyai tiga orang anak serta isteri yang tidak bekerja. Jika beliau diberhentikan kerja, maka sistem ini secara automatik akan dapat mengesan status Abu melalui notifikasi yang dicerap daripada data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Status Abu sebagai seorang yang hilang pekerjaan akan melayakkan beliau menerima bantuan jangka pendek selama beliau tidak bekerja, maksimum tiga bulan untuk menampung perbelanjaan keluarga sehingga mendapat pekerjaan baharu,” katanya.
Muhyiddin berkata, sistem bersepadu itu juga boleh berfungsi menyusun semula segala bentuk manfaat yang layak diterima oleh rakyat sejak dari lahir sehingga akhir hayat menerusi data rentas agensi.
Selain itu, katanya, mengambil kira kemelut yang sedang dihadapi rakyat, usaha menangani jurang ekonomi dan kemiskinan perlu menekankan aspek keterangkuman dalam strategi pemulihan negara.
Jelas beliau, Langkah itu penting untuk meningkatkan momentum pemulihan negara ke suatu tahap yang lebih tinggi.
Katanya, agenda pemulihan yang bersifat inklusif akan dapat memastikan tiada golongan terpinggir, khususnya masyarakat pedalaman, orang asal serta pribumi Sabah dan Sarawak.
“Kita mahu mereka sama-sama menikmati hasil kemakmuran negara seperti yang dihasratkan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama atau WKB2030.
“Saya berharap Seminar Kebangsaan ini dapat menjadi wadah penting dalam menggagaskan idea yang bernas dan praktikal untuk menghasilkan strategi ampuh pemulihan negara yang menyeluruh, agar kita dapat mencapai tahap lebih baik daripada sebelum terjadinya pandemik,” katanya.
Leave a Reply