Polis tahan dua pencuri kabel telekomunikasi

POLIS menahan dua individu yang terbabit dalam kejadian kecurian kabel telekomunikasi di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mereka ditahan dalam serbuan dilakukan kira-kira pukul 5 pagi oleh sepasukan anggota polis selepas menerima maklumat awam.

“Orang mawam memaklumkan kehadiran dua individu dalam keadaan mencurigakan. Dua lelaki berusia 24 dan 43 tahun itu ditahan sedang mencuri kabel utama milik sebuah syarikat telekomunikasi.

“Salah seorang suspek berjaya ditahan di lokasi, manakala rakannya bertindak melarikan diri dengan sebuah lori yang turut digunakan dalam kegiatan terbabit selepas menyedari kehadiran polis.

“Bagaimanapun, suspek yang melarikan diri itu berjaya ditahan ketika bersembunyi di dalam longkang selepas lori yang dipandunya melanggar kenderaan lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Petaling Jaya, hari ini.

Katanya, pemeriksaan dalam lori berkenaan menemui peralatan termasuk tiga mesin gergaji besi, sembilan kon, dua tukul besi, satu guni berisi tali tunda, kabel utama sepanjang 100 meter, pelbagai papan, tangga dan penjana kuasa.

“Selain itu, polis turut menemui dua baton lampu, pemotong kabel, kuku kambing dan cangkul selain dua Mykad milik individu lain,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

Menurutnya, semakan mendapati suspek berusia 24 tahun tidak mempunyai rekod jenayah, manakala rakannya pula memiliki empat rekod jenayah.

Katanya, kesemua peralatan, lori dan dua kereta dipercayai milik suspek dirampas untuk membantu siasatan.

“Kedua-dua suspek direman empat hari mulai kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 25(1)(n) Akta Pendaftaran Negara kerana memiliki kad pengenalan individu lain,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *