SEPASANG kekasih yang juga graduan universiti ditahan bersama 58 kilogram (kg) dadah dikenali sebagai ‘mushroom’ atau ‘magic mushroom’ dianggarkan bernilai RM1.4 juta dalam serbuan polis terhadap sebuah kondominium di Jalan Seri Wangsa, Wangsa Maju di sini, Selasa lalu.
Pasangan suspek berusia 29 dan 30 tahun ditahan dalam Op Grace, hasil maklumat dan risikan terhadap kegiatan mereka selepas dikesan aktif menjual dadah dalam bentuk rokok dan cecair vape menerusi media sosial sejak tiga bulan lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, berkata dalam operasi bermula jam 6.30 petang, kedua-dua suspek pada mulanya ditahan di lobi kondominium berkenaan bersama 1kg ‘mushroom’.
“Berikutan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah unit kondominium di situ yang menjadi tempat tinggal pasangan itu, kita menemui sejumlah besar dadah terdiri 57kg ‘mushroom’ dalam beberapa guni, 17.7 gram ganja (RM885) serta 23 botol cecair vape (RM3,450) mengandungi dadah.
“Turut ditemui, 2.9kg serbuk dan 27.8 liter cecair kimia untuk memproses dadah serta pelbagai peralatan dan mesin untuk menghasilkan barang terlarang itu dan wang tunai RM300 dengan jumlah keseluruhan rampasan RM1.5 juta,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Yahaya, semakan mendapati suspek lelaki yang juga seorang pemegang ijazah dalam bidang Sains Komputer membeli bekalan dadah ‘mushroom’ dari luar negara dari pembekal yang menjual bahan itu menerusi ‘dark web’.
“Bekalan dadah dibeli secara dalam talian dari sebuah negara di utara dan kemudian diproses menjadi rokok dan cecair vape di unit kondominium terbabit sebelum memasarkannya melalui media sosial dan untuk pelanggan di luar Lembah Klang, mereka menggunakan khidmat kurier.
“Suspek lelaki didapati mempelajari cara-cara memproses ‘mushroom’ sebagai rokok dan cecair vape melalui dalam talian. Teman wanitanya pula yang berkelulusan Diploma Pengurusan Hotel sebagai pembantu,” katanya lapor Berita Harian.
Yahaya berkata, hasil ujian saringan urin mendapati kedua-dua suspek negatif dan semakan mendapati suspek lelaki mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes dadah.
Katanya, semakan mendapati harga terkini sebatang rokok mengandungi 0.5 gram ‘mushroom’ dijual antara RM100 hingga RM150.
Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menahan lima individu termasuk seorang wanita asing menerusi Op Paloma dalam serbuan berasingan di Taman Desa di Kuala Lumpur, pada Selasa lalu dan merampas syabu dianggarkan bernilai RM1.3 juta.
Yahaya berkata, dua suspek lelaki tempatan berusia 30 dan 35 tahun ditahan dalam serbuan ke atas sebuah kereta di hadapan pos pengawal kondominium terbabit bersama sekilogram syabu.
“Lanjutan serbuan pertama, polis menyerbu sebuah unit rumah di kondominium sama dan menahan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga China berusia 28 hingga 60 tahun serta merampas 34kg dadah jenis syabu serta wang tunai RM3,470.
“Semakan mendapati empat suspek lelaki, masing-masing mempunyai dua rekod kesalahan jenayah dandadah, manakala ujian saringan urin mendapati kesemua suspek positif dadah,” katanya.
Menurut Yahaya, sindiket ini dipercayai memperoleh bekalan dadah dari negara jiran di utara dan dibawa ke ibu negara untuk edaran sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.
Katanya, kesemua suspek daripada kedua-dua kes ini kini direman tujuh hari sehingga 18 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Leave a Reply