Komposer Wan Zul meninggal dunia

KOMPOSER terkenal, Wan Zul, 61, yang dilapor kritikal sejak beberapa hari lalu, meninggal dunia di Hospital Kemaman, pukul 2.30 pagi tadi.

Wan Zul atau nama sebenarnya Che Wan Zulkifli Che Wan Abdul Ghani yang merupakan pencipta lagu ‘berhantu’, Suci Dalam Debu nyanyian kumpulan Iklim itu dikongsikan adik arwah, Che Wan Zuhaini, 58, menerusi Aplikasi WhatsApp.

“Saya menerima berita sedih itu daripada anak arwah pukul 2.30 pagi tadi tetapi waktu yang tepat jam berapa arwah meninggal dunia saya tidak pasti.

“Saya sekarang berada di Kuantan dan akan pulang ke Kemaman pagi nanti,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Jenazah Wan Zul akan dibawa pulang ke kediaman keluarganya di Kijal, Kemaman, Terengganu.

Difahamkan, Allahyarham Wan Zul dimasukkan ke Hospital Kemaman sejak Ahad 2 Oktober lalu akibat kencing manis dan jangkitan kuman pada paru-paru dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Allahyarham Wan Zul meninggalkan seorang balu, Tengku Siti Famah dan dua anak iaitu Che Wan Norsyikin dan Che Wan Noradli.

Arwah juga individu yang bertanggungjawab menaikkan nama kumpulan Iklim di persada seni tanah air menerusi album pertama, Satu Kesan Abadi.

Selain Suci Dalam Debu, beberapa lagu dari kumpulan Iklim ciptaan arwah terus diminati hingga kini antaranya, Aduhai Seribu Kali Sayang, Kerana Takdir dan Biografi Cinta Luka.

Lagu popular lain ciptaannya adalah Hanya Satu Persinggahan (Ekamatra), Antara Sutra Dan Bulan (Damasutra), Itulah Cintaku (Ilusi), Di Badai Asmara (Sera), Khazanah Dari Malaya (Ayati Tasrip) dan banyak lagi.

Sepanjang kariernya, Wan Zul juga pernah bertugas dengan syarikat rakaman Ambang Klasik, anak syarikat TV3.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *