MAYAT reput yang ditemukan berhampiran lokasi kemalangan di Jalan Besar Tambun, di Ipoh semalam disyaki ada kaitan dengan padanan kes orang hilang.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri, pihaknya menemui padanan tersebut, setelah semakan dibuat berhubung penemuan mayat berkenaan.
“Saya telah menubuhkan satu pasukan khas untuk membuat meneruskan siasatan dengan lebih mendalam, selepas kita mendapat laporan daripada pihak forensik berkenaan dengan sebab kematian.
“Ada (padanan kes orang hilang), kita pun telah semak rekod sistem orang hilang dan didapati ada ‘match’ (sepadan) dengan satu kes orang hilang,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Taman Angkat Amanita PDRM Perak di Tapak Pekan Rabu Langkap, di Teluk Intan, hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada mayat itu dibunuh di lokasi berbeza sebelum dibuang di kawasan tersebut, Mohd. Yusri tidak menolak kemungkinan berkenaan.
“Kemungkinan itu ada, bagaimanapun siasatan masih sedang dijalankan untuk kita mengenal pasti punca kematian, kenapa dibunuh dan di mana lokasi sebenarnya dibunuh.
“Memang lama (sudah meninggal dunia) dipercayai sudah melebihi dua minggu, warga tempatan atau tidak itu masih lagi dalam siasatan polis,” katanya lagi.
Semalam media melaporkan, hasil bedah siasat terhadap mayat reput yang ditemui berhampiran lokasi kemalangan di Jalan Besar Tambun, menunjukkan punca kematian adalah disebabkan dicekik.
Mohd. Yusri berkata sehubungan itu, kes berkenaan telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Leave a Reply