Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
JABATAN Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan terhadap sebuah kilang penyaduran logam di Tanjung Langsat di Pasir Gudang selepas didapati melepaskan pencemaran ke udara.
JAS dalam satu kenyataan memberitahu, tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) itu dilakukan menerusi operasi yang dijalankan JAS Johor dan Pasir Gudang.
“POK yang dilakukan kelmarin itu di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, kerana berlaku pelepasan pencemaran ketara.
“Alat kawalan udara dan efluen di premis terbabit tidak berfungsi dan gagal beroperasi dengan baik.
“Malah, terdapat kawasan proses pengeluaran beroperasi tanpa alat kawalan, buangan terjadual tidak diuruskan dengan betul di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
“Tindakan POK diambil bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku dan premis diarahkan untuk mengambil tindakan pembaikan dalam tempoh POK berkenaan,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, persampelan efluen dan bahan buangan terjadual daripada premis itu sudah dijalankan untuk tindakan penguatkuasaan selanjutnya.
“Seramai 10 anggota penguatkuasa dari JAS Cawangan Pasir Gudang dan JAS Johor terbabit dalam pemeriksaan berkenaan yang bermula jam 10 pagi dan berakhir jam 1 pagi.
“Semua premis industri diingatkan supaya sentiasa mematuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya dan tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku kesalahan mencemarkan alam sekitar,” katanya.
Leave a Reply