Inilah muslihat sebenar

UCAPAN Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang secara terbuka berkata kepemimpinan parti kompenan Barisan Nasional (BN) itu akan menghadapi perbicaraan jenayah sekiranya mereka tewas lagi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dilihat sebagai pendedahan muslihat sebenar.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata rakyat dan pengundi boleh nilai sendiri sebab sebenar kenapa mereka bubarkan parlimen di musim banjir.

“Bukan untuk rakyat. Hanya nak menyelamatkan tengkuk sendiri daripada terus didakwa dan dibicarakan di mahkamah,” katanya dalam reaksi ringkas di Facebook.

Bercakap pada Perhimpunan Agung MIC ke-76 pada Isnin lalu, Ahmad Zahid mendakwa, bagi mengelakkan hal itu berlaku, Zahid ‘mewajibkan’ BN untuk mencapai kemenangan dalam PRU15 nanti.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, BN perlu menjadi dominan dalam kerajaan selepas ini.

Ahmad Zahid juga menegaskan PRU akan datang – yang belum ditetapkan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  adalah ‘ibu’ segala PRU di negara ini.

“Kalau kita kecundang, nasib kita lebih buruk daripada PRU14.

“Bukan saya saja kena dakwa (di mahkamah), Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan), kamu dalam senarai menunggu. Tan Sri Vicky (Presiden MIC SA Vigneswaran) jangan ketawa… kamu juga termasuk. Apa lagi Datuk Seri Saravanan (timbalan presiden MIC) dan menteri sumber manusia sementara).

“(Presiden MCA dan menteri pengangkutan sementara Wee) Ka Siong? Mereka tidak akan melupakan kamu. Kamu juga akan didakwa. (Menteri pertahanan sementara) Hisham (Hishammuddin Hussein) jangan senyum.

“Bagi mengelakkan (perkara) ini, kita wajib menang dengan dominan di dalam PRU ke-15 ini saudara dan saudari,” kata Zahid dengan bersemangat lapor Berita Bersatu.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mendakwa kenyataannya pada Perhimpunan Agung MIC Isnin lalu disalah tafsir oleh lawan bagi menjatuhkan imej pemimpin gabungan itu.

Beliau mempertahankan kenyataannya pada Isnin lalu dengan berkata, mesej yang cuba disampaikannya kepada pemimpin BN ialah mereka akan berdepan ‘pendakwaan terpilih bermotifkan politik’, jika BN kalah dalam PRU-15.

“Namun, ia akan menjadi suci dan selamat jika bersekongkol dan bersama dengan mereka. Jadi, tidak hairanlah ada yang sanggup lompat parti untuk menyelamatkan diri agar terus suci,” katanya dalam catatan di Facebook, lapor Free Malaysia Today (FMT).

Terdahulu Isnin lalu, Zahid mengingatkan pemimpin BN yang mereka perlu menang besar dalam PRU15 bagi mengelakkan ditimpa nasib lebih buruk seperti pendakwaan politik yang dihadapinya ketika ini.

Susulan itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kenyataan Zahid itu adalah pengakuan pemimpin UMNO bersalah dan pertandingan UMNO dalam PRU-15 demi menyelamatkan mereka daripada dibicarakan di mahkamah dan dihukum.

Zahid berkata, musuh BN takut dengan bayang-bayang sendiri dan mereka membantah PRU-15 diawalkan kerana menjangkakan BN akan membalas dendam kepada mereka, sekiranya menang dalam pilihan raya.

“Lawan BN sedang ketakutan kepada istilah ‘what you give, you get back’ selepas kezaliman yang mereka lakukan semasa berkuasa.

“Seperti saya nyatakan berulang kali, saya tiada sifat dendam, sentiasa memaafkan, tapi tidak melupakan.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *