USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Sepang, hari ini, atas empat pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video bersifat sumbang pada April lalu.
Aliff Syukri yang juga orang kena saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil, dan meminta dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa secara sedar melakukan kesalahan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video bersifat sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April lalu, yang dilihat pada 24 April di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia di Cyberjaya.
Aliff Syukri didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan lapor Berita Harian.
Leave a Reply