JANGKAAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan hari ini nyata meleset apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah masih belum memberi perkenan berhubung perkara itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebarang ketetapan mengenai permohonan pembubaran DUN yang dikemukakan beliau kepada Sultan Nazrin pada hari ini akan diumumkan selepas baginda berkenan membuat keputusan.
“Belum dapat perkenan (Sultan Nazrin) lagi untuk DUN dibubarkan,” katanya dalam laporan Harian Metro.
Saarani dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh berkata, Sultan Nazrin bertitah bahawa baginda mengambil maklum mengenai permohonan yang dikemukakan dan akan membuat pertimbangan sewajarnya.
“Oleh demikian sebarang ketetapan mengenai permohonan pembubaran DUN akan diumumkan selepas Tuanku (Sultan Nazrin) berkenan membuat keputusan,” katanya.
Ditanya mengenai jangkaan akan dipanggil menghadap semula oleh Sultan Nazrin bagi keputusan permohonan pembubaran DUN itu, Saarani tidak mengetahuinya.
Leave a Reply