Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
MEMBAWA masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia yang telah disenaraihitamkan menerusi Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri, Johor.
Dua Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bersubahat dengan sindiket membawa PATI berkenaan akan melepaskan mereka tanpa sebarang pemeriksaan sebelum dibawa ke Larkin Sentral, Johor Bahru menggunakan bas.
Selepas itu semua PATI berkenaan yang masuk dari Singapura akan dibawa menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan di Kuala Lumpur.
Itu modus operandi dilakukan sindiket Ah Chong yang membawa masuk PATI Indonesia yang sudah disenarai hitam pihak JIM ke negara ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kegiatan mereka tumpas selepas pihaknya menerusi satu operasi khas dijalankan sepasukan pegawai dan anggota imigresen Putrajaya bermula pukul 1.30 petang tadi.
“Seramai 25 PATI warganegara Indonesia ditahan yang melibatkan 13 lelaki dan 12 wanita. Turut ditahan dua tekong warganegara tempatan berusia 34 dan 49 tahun.
“Selain itu dua Pegawai Imigresen yang berusia 20 dan 27 tahun yang bertugas di KSAB turut ditahan petang tadi,” katanya dalam sidang akhbar di Laluan Keluar Bas dan Lori di KSAB, hari ini.
Beliau berkata, sindiket itu didapati telah bergiat aktif sejak sempadan antarabangsa Malaysia dibuka pada April lalu dengan mensasarkan PATI yang telah disenarai hitam daripada memasuki negara ini oleh pihak imigresen.
Sindiket itu katanya, mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM8,000 seorang dan dianggarkan mereka telah membawa masuk sekurang-kurangnya 600 PATI sejak April lalu dengan mengaut keuntungan lebih RM2.5 juta sejak beroperasi.
“Kesemua PATI yang dibawa masuk sindiket ini adalah mereka yang telah disenarai hitam imigresen atas pelbagai kesalahan antaranya masuk melalui laluan salah, tinggal lebih masa dan juga menjalankan perniagaan tanpa lesen,” katanya.
Beliau memberitahu, semua 25 PATI yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63, manakala dua tekong warga tempatan akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
“Pihak Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang didapati terlibat dengan kegiatan penyeludupan migran,” ujar beliau lagi.
Leave a Reply