Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PENGUNDI perlu menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk mengajar mereka yang sering meletakkan kepentingan politik melebihi kesejahteraan rakyat.
Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Johor, Azrol Rahani berkata, BN sudah beberapa kali membelakangkan kepentingan rakyat contohnya mengadakan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika pandemik Covid-19 sebelum ini.
Beliau berkata, terkini BN tidak peduli untuk mengadakan PRU15 dalam masa tengkujuh dan secara sinis ‘mengalu-alukan’ keputusan itu.
“Parti yang menentang pilihan raya semasa banjir adalah penakut. Semua orang tahu faktanya. Memang masuk akal jika pilihan raya dijalankan tahun ini walaupun pada musim banjir, tiada yang pelik dan mengejutkan. Kita semua yakin yang BN mampu.
“Jika mereka mampu bercatur dengan nyawa sebelum ini dengan PRN Sabah, Melaka dan Johor walaupun Covid-19 masih berleluasa, tiada yang pelik jika kali ini mereka boleh bercatur nyawa rakyat yang sedang dan akan berdepan banjir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu Azrol berharap rakyat khususnya pengundi sedar dengan permainan politik yang dimainkan UMNO ketika ini.
“Yang pelik adalah kita beranggapan BN, parti yang mengangkat dan menjunjung golongan korup, mencuri, dan salah guna kuasa akan memikirkan kepayahan yang akan dihadapi rakyat semasa banjir melanda negara.
“Selepas semua yang kita sudah tahu tentang BN, kita tidak lagi harus mengharapkan mereka akan ambil berat kebajikan rakyat,” katanya.
Menurut beliau, kesan banjir akan mengakibatkan harta awam musnah, peniaga-peniaga kecil tidak dapat mencari rezeki, pelajar tidak dapat ke sekolah, buku-buku rosak, bekalan makanan terputus dan tanaman petani rosak.
Bukan itu sahaja katanya, ternakan juga mati, kayu balak masuk rumah, rumah hanyut dan kehilangan nyawa, semua itu akan menelan kerugian sehingga berbilion Ringgit.
Itu adalah antara faktor utama pembangkang termasuk Muda menentang PRU-15 dijalankan semasa musim banjir, katanya.
“Kerana itulah walaupun Parlimen sudah dibubar dan pilihan raya tidak lagi dapat dielakkan, Muda tetap akan membuka bilik gerakan banjir dan menyeru semua sukarelawan untuk bersama bagi membantu semua yang terkesan sebagai persediaan,” ujar beliau.
Leave a Reply