SELEPAS pelbagai spekulasi berhubung tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), akhirnya tanda tanya tersebut terjawab selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan secara rasmi Parlimen terbubar.
Walaupun berdepan tentangan daripada pelbagai pihak, namun nampaknya kehendak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi lebih diutamakan berbanding kehendak rakyat yang semakin terbeban dengan kesulitan hidup dan juga tidak lama lagi musim banjir pula bakal tiba.
Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata individu paling gembira dengan keputusan pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri adalah Zahid kerana selama ini desakan supaya PRU-15 disegerakan berpunca daripada Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut.
“Suasana politik yang bodoh masih kelihatan jelas, Zahid Hamidi paling gembiralah sebab kehendak dia dah dapat.
“Bagi pembangkang mereka tidak setuju tapi sekarang sudah bubar Parlimen, jadi suka atau tak suka mereka kena pergi berperang juga lah,” katanya semasa dihubungi Agenda Daily.
Pembubaran Parlimen pada mulanya ditentang blok pembangkang, termasuk juga parti komponen dalam kerajaan yang berpendirian tidak sesuai diadakan pada ketika bencana banjir diramalkan berlaku pada hujung tahun ini.
Namun, Ismail Sabri tidak dapat menahan lebih lama desakan bosnya, Zahid apabila hampir saban minggu mengadakan himpunan raksasa dengan menghimpunkan penyokong parti untuk memberi tekanan kepadanya.
Ditanya berhubung peratusan pengundi yang rendah semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang lalu, Salawati berkata situasi sudah berubah apabila orang ramai sudah menjalani kehidupan seperti biasa sekarang dan meramalkan pengundi baharu atau muda bakal mengubah corak pola pilihan raya kali ini.
“Satu benda yang sukar untuk kita ramal adalah budak umur 18 tahun, enam juta pengundi. Demografi kita akan jadi sangat berbeza, lagipun pada saya budak-budak ni kita tak boleh nak predict apa ada dalam kepala mereka.
“Pada saya sebenarnya tiada siapa yang takut nak pergi mengundi, semua orang nak pergi mengundi jadi sekarang ni pun rakyat memang nak mengundilah sebab sudah bubar… cuma macam orang rasa tak adil lah kalau kawasan yang dah kena banjir itu macam mana.
“Memang ramailah yang akan keluar (mengundi) sebab dah bosan sangat dengan keadaan Malaysia ni. Walaupun ua-dua pun sebenarnya tak boleh pakai, tapi kita terpaksa pilih jugalah di antara dua itu,” katanya lagi.
Salawati menggesa orang ramai agar turun mengundi menunaikan tanggungjawab mereka jika mahu melihat keadaan negara menjadi lebih baik memandangkan keadaan mencabar pada tahun depan yang bakal dihadapi negara.
“Kita sebenarnya kita nak pastikan negara kita lebih baik, kalau boleh biar saja yang betul-betul berkaliber dapat jadi menteri, dapat pulihkan ekonomi.
“Ekonomi teruk, duit (ringgit) pun menyusut. Rakyat sebenarnya nak makan tak nak lagi dibeban dengan masalah kewangan, OPR (kadar jangka masa panjang) yang naik berganda-ganda, berapa kali setahun.
“Jadi kalau kerajaan berjaya wujudkan ekonomi yang bagus, pekerjaan yang banyak, saya rasa siapa pun jadi kerajaan rakyat akan gembira,” ujarnya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan menentukan tarikh penting bagi PRU-15 pada 20 Oktober ini.
Leave a Reply