PEMUDA UMNO berpendapat tiada sebarang isu sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) terpaksa berdepan dengan situasi banjir kerana kerajaan dilihat sudah bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan.
Ketua Pemudanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perihal pilihan raya juga hanya melibatkan ahli politik.
Tegas beliau, terdapat sebilangan pihak yang memainkan isu banjir seolah-olah kerajaan tidak wujud.
“Kerajaan masih ada, yang berkempen bukan pasukan bomba, NADMA, bukan PDRM dan Rela… yang terlibat hanya orang parti politik,” katanya, lapor Astro Awani dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Exco Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn, hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, kerajaan (caretaker) sedia ada sudah pasti bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) telah memberikan gambaran yang jelas.
Dalam masa sama, Asyraf Wajdi menegaskan, lazimnya, Pemuda UMNO merupakan antara yang terawal turun padang sekiranya berlaku insiden banjir.
Penglibatan Pemuda UMNO sudah terbukti semasa bencana banjir di Baling, Kedah beberapa bulan lalu, apabila pihaknya antara terawal membantu agensi terlibat.
Kata Asyraf Wajdi juga, kebiasaannya musim tengkujuh berlaku secara berfasa dan tidak terjadi serentak melibatkan seluruh negara.
Leave a Reply