Operasi pengurusan banjir berdepan masalah jika bertembung PRU-15, kata Hamzah

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan berdepan kesukaran dalam menggerakkan operasi pengurusan banjir jika bencana tersebut berlaku serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini kerana kekuatan PDRM juga perlu diaturgerak bagi penugasan PRU-15 selaras dengan akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau memberitahum berdasarkan rekod, hampir 75,000 anggota polis ditugaskan bagi PRU-14 dan bagi PRU-15, PDRM menganggarkan lebih 94,000 anggota perlu ditugaskan daripada 120,000 kekuatan keseluruhan anggota.

“Ini kerana sudah ada peningkatan pengundi sekali gus peningkatan saluran yang memerlukan penambahan anggota iaitu sekurang-kurangnya seorang anggota bertugas bagi setiap saluran mengikut akta SPR dengan dibantu anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) yang bertugas di kawasan luar pusat mengundi.

“Apa yang kita takutkan ialah PRU kali ini bertembung dengan banjir dan sebab itu kami membincangkan perkara ini dengan agensi lain jika berlaku penugasan menyelamatkan mangsa banjir nanti,” katanya.

Hamzah berkata demikian pada sidang media selepas mendengar Taklimat Keselamatan dan Persediaan Menghadapi Banjir Monsun Timur Laut yang disampaikan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Hamzah berkata, KDN melalui Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan Bersepadu (JKPB) sudah melakukan simulasi komprehensif di lima zon di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi banjir dan PRU-15.

“Kita sudah menjalankan simulasi yang tidak hanya membabitkan PDRM tetapi agensi lain, bukan saja sebagai kesiapsiagaan banjir tetapi juga persediaan dalam penugasan PRU-15,” katanya.

Mengulas mengenai situasi sekiranya ada sekolah digunakan sebagai pusat mengundi dan pusat pemindahan sementara (PPS), beliau berkata, tidak semua sekolah dijadikan pusat mengundi.

“Bukan semua sekolah dijadikan sebagai pusat mengundi oleh SPR. Walaupun banyak sekolah digunakan dalam pilihan raya tetapi ia tidak semua.

“Ada kawasan sekolah yang selamat dan mudah dijaga serta dikawal ketika pilihan raya cuma mungkin memerlukan lebih ramai sukarelawan bertugas,” katanya.

Menurutnya, beliau berpuas hati dengan persediaan dan kesiapsiagaan aset strategik dan anggota PDRM yang boleh diatur gerak khusus bagi menghadapi bencana banjir besar pada bila-bila masa.

“PDRM akan dibantu oleh jabatan dan agensi lain di bawah KDN seperti Rela dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Seramai 21,018 anggota polis, 367 bot, 845 kenderaan pacuan empat roda, 454 lori serta 11 aset udara sedia untuk dikerahkan mengikut keperluan dan perkembangan semasa,” katanya.

Beliau berkata, semua Ketua Polis Daerah juga diarah untuk melakukan persediaan awal bagi mengetuai pusat operasi pengurusan banjir di peringkat daerah masing-masing.

“Selain itu, seramai 4,367 pegawai dan anggota Rela bersama aset mereka iaitu 41 lori dan 36 kenderaan pacuan empat roda juga dalam keadaan siap sedia untuk diatur gerak di lokasi berpotensi berdepan banjir.

“APMM pula ditugaskan memberi bantuan ke pulau-pulau khususnya penghantaran bekalan makanan dan keperluan asas selain pemindahan mangsa banjir dengan menggunakan pesawat udara,” katanya.

Katanya, terdapat laporan daripada PDRM mengenai beberapa kawasan seperti di Tanjung Karang, Selangor; Baling, Kedah; Kuala Pilah, Negeri Sembilan serta beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak sudah dinaiki air.

“Justeru itu, PPS sudah diaktifkan di kawasan terbabit dan misi bantuan juga diaturgerak kepada mangsa,” katanya, lapor Harian Metro.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *