PAS tidak wajar dipersalahkan dengan kenaikan kos Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika tiga negeri diterajui parti itu tidak dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen.
Lapor Berita Harian, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti itu konsisten mahu ia diadakan sehingga tamat penggal pentadbiran pada tahun hadapan.
“Siapa yang mula-mula nak buat pilihan raya dalam keadaan menyusahkan rakyat yang mana mereka tahu bahawa negeri-negeri tidak berhajat mengadakan pilihan raya dan telah dimaklumkan kepada mereka termasuk negeri-negeri daripada PH (Pakatan Harapan).
“Jadi bila diberitahu tidak ada hujah yang kuat untuk buat pilihan raya tetapi mereka nak buat juga, jadi mereka sebenarnya yang mengheret rakyat kerana memenuhi kehendak peribadi beberapa pemimpin mereka yang ada agenda peribadi bukan agenda rakyat atau negara.
“Jadi mereka yang sepatutnya bertanggungjawab kerana mengheret rakyat (mengadakan pilihan raya),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agong Koperasi Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Pada soalan kewajaran tidak membubarkan DUN di tiga negeri diterajui Pas sedangkan jentera parti tetap bergerak untuk kempen bagi calon Parlimen, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, ia berdasarkan pendirian Pas yang menolak PRU-15 diadakan kerana mahu memberi fokus kepada kestabilan dan kesejahteraan rakyat.
“Daripada segi kekuatan jentera kita akan bergerak sebagaimana kita berdepan dengan pilihan raya sebelum ini, tidak pernah berkurangan… insya-Allah,” katanya.
Leave a Reply