Gong PRU-15 sudah berbunyi, kini tiba masa rakyat membuat pilihan

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

SETELAH beberapa hari menunggu, kini debaran rakyat di negara ini berhadapan satu lagi saat bersejarah sudah hampir sampai ke kemuncak.

Malah, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Saberi Yaakob berhubung pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu membuka peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan terbaik mengenai calon dan parti kegemaran masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat ini.

Memandangkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah perkenan membubarkan Parlimen, maka rakyat berhak membuat pilihan terbaik mengenai calon dan parti yang bakal menerajui pemerintahan negara nanti.

Maka itu, bukan masanya lagi untuk mana-mana pihak pertikaikan perkara tersebut kerana kelak nanti, ia dikatakan derhaka pula kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sebaliknya, apa yang penting, mulai sekarang setiap parti politik yang terlibat dengan pilihan raya perlu memperkemas dan menggerakkan strategi masing-masing untuk memenangi PRU-15 yang disifatkan sebagai ibu segala pilihan raya.

Justeru, apa ditunggu lagi kerana gong PRU-15 sudah pun berbunyi, mandat rakyat telah dikembalikan untuk membolehkan mereka (pengundi) membuat pilihan.

Kini, kita semua hanya perlu menunggu keputusan dan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung penetapan tarikh-tarikh penting melibatkan PRU-15.

setakat ini SPR dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas pada 20 Oktober ini bagi membincang dan menentukan tarikh-tarikh penting tersebut.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak memaklumkan, mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Ghani Salleh itu akan diadakan di Menara SPR Putrajaya pada pukul 10 pagi.

Antara perbincangan itu bakal melibatkan penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan.

Susulan pembubaran parlimen ini, kita berharap para pengundi berdaftar juga telah bersedia untuk memilih calon dan parti politik yang sesuai ketika keluar membuang undi nanti.

Pilihlah calon dan parti yang boleh membantu mereka dan bukan sekadar tahu menabur janji-janji yang tidak pernah tertunai.

Ia penting bagi memastikan nasib dan kehidupan rakyat selepas pasca PRU15 tidak berhadapan dengan sebarang masalah.

Sebagai rakyat dan pengundi, kita mestilah berpandangan jauh sebelum membuat sesuatu keputusan kerana sebarang kesilapan ia boleh menyebabkan masa depan generasi kita turut terjejas.

Apa yang penting setiap calon yang dipilih nanti adalah mereka yang memiliki nilai-nilai kepimpinan, mesra dan cakna rakyat, sering turung padang serta ada ilmu agama.

Selain itu, setiap pengundi juga perlu memastikan calon yang dipilih adalah bebas rasuah dan berintergriti.

Ia penting kerana kita tidak mahu tersalah pilih mereka yang tidak tahu membuat kerja dan jarang pula turun padang bersama rakyat serta gagal menyelami masalah masyarakat di kawasan mereka khususnya ketika berlakunya bencana seperti banjir dan ribut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *