Oh Tong Keong

Gerakan gesa Pulau Pinang turut bubar DUN elak pembaziran tenaga, wang

PARTI Gerakan menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow perlu serius mempertimbangkan untuk mengadakan pilihan raya negeri dengan PRU-15 pada masa yang sama bagi mengelak menyusahkan rakyat dan membazirkan wang.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Gerakan Pusat berkata, pilihan raya negeri serentak itu juga bagi memastikan tidak berlaku pembaziran tenaga kerja, sumber material dan sumber sosial.

“Ia juga bagi memberi peluang yang adil kepada penduduk Pulau Pinang untuk membangunkan sistem demokrasi tanpa perlu keluar mengundi untuk pilihan raya negeri dalam tempoh tiga atau empat bulan lagi.

“Adalah kuasa mutlak Ketua Menteri Pulau Pinang untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya negeri dengan menasihati Yang Dipertua Pulau Pinang supaya membubarkan DUN.

“Kon Yeow tidak perlu patuh kepada keputusan pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Tong Keong, jika alasan tidak mengadakan pilihan raya negeri pada masa sama dengan PRU-15 semata-mata untuk mengelakkan banjir dan bukan kerana agenda politik, maka orang ramai akan tertanya-tanya sama ada PH juga tidak akan menyertai PRU-15.

“Apa bezanya jika PH hanya menyertai pilihan raya Parlimen tetapi tidak menyertai pilihan raya negeri,” soalnya.

Beliau turut menarik perhatian yang mana banjir monsun pada setiap akhir tahun secara amnya lebih teruk di negeri-negeri Pantai Timur berbanding negeri lain.

“Mungkin hujan akan berlaku di Pulau Pinang, tetapi ia tidak begitu serius sehinggakan pilihan raya tidak boleh diadakan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *