PEMBUBARAN Parlimen pada musim Deepavali membuktikan MIC sekadar menjadi ‘pak turut’ kepada kehendak UMNO, kata Timbalan Ketua Setiausaha Pengelola Parti Keadilan Rakyat (PKR), Thiban Subramaniam.
Thiban berkata dia amat kecewa dan kesal kerana pembubaran Parlimen ini berlaku hanya dua minggu sebelum perayaan Deepavali.
“MIC yang seringkali melaungkan mereka adalah pejuang masyarakat India, kini bersekongkol dengan pemimpin UMNO yang rakus kuasa serta menjadi ‘pak turut’.
“Pembubaran parlimen semasa perayaan Deepavali jelas membuktikan #KeluargaMalaysia Ismail Sabri hanya retorik politik,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaKini.
Semalam, Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan pembubaran parlimen ke-14, memberi laluan kepada pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari.
Thiban menambah bahawa terdapat desas-desus yang mengatakan kemungkinan besar penamaan calon akan diadakan pada 22 Oktober, iaitu dua hari sebelum perayaan Deepavali.
“Dalam kesibukan menyambut perayaan Deepavali, kempen PRU pula akan dimulakan tanpa menghiraukan calon mahupun pengundi masyarakat India.
“Dalam ucapan perutusan khas pembubaran Parlimen, Ismail Sabri telah mendabik dada melaungkan slogan #KeluargaMalaysia yang kononnya mengambil kira kepentingan semua rakyat Malaysia.
“Namun, realitinya pimpinan UMNO dan Barisan Nasional langsung tidak menghiraukan dan menghormati sentimen dan kepentingan masyarakat India yang bakal menyambut perayaan Deepavali,” katanya.
Thiban juga berkata pembubaran Parlimen tidak akan berlaku sewaktu sambutan Aidilfitri mahupun Tahun Baru Cina kerana ia akan membawah impak negatif kepada UMNO dan BN.
“Namun tindakan mereka membelakangkan sambutan Deepavali jelas membuktikan mereka langsung tidak mempedulikan undi masyarakat India,” katanya.
Leave a Reply