Bersatu, Pas mungkin tukar kerusi strategi menang PRU-15

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran kerusi dengan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pertukaran kerusi berkenaan sebagai strategi gabungan itu untuk memenangi PRU15.

“Selama kami berbincang dengan parti komponen dalam menghadapi PRU-15, perkara penting adalah untuk memastikan pemimpin semua komponen boleh menang kawasan yang akan kita calonkan.

“Pertukaran kerusi dahulunya mungkin dimenangi Bersatu, kini mungkin Pas perlukannya. Ianya menentukan pemimpin berkenaan boleh menang di kawasan-kawasan itu,” katanya pada taklimat Op Banjir di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya sama ada Pas benar-benar komited untuk bersama PN, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan parti itu masih bersama mereka.

“Rundingan adalah sesuatu strategi yang diperlukan dalam pilihan raya. Ia adalah sesuatu isu yang berbeza,” katanya.

Media pada 23 September lalu melaporkan pengagihan kerusi membabitkan parti komponen PN bagi menghadapi PRU-15 hampir selesai dan akan dimuktamadkan, lapor Berita Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *