HUJAN lebat dan limpahan air sungai mencetuskan kejadian banjir di 26 wilayah khususnya di timur laut dan bahagian tengah Thailand.
Menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) lebih 154,000 keluarga di 4,354 perkampungan dilaporkan terjejas setakat Isnin susulan ribut tropika Noru dan monsun barat daya melanda Laut Andaman dan Teluk Thailand.
Hujan lebat berterusan menyebabkan banjir dan paras air sungai meningkat.
Pelepasan air dari empangan juga mengakibatkan banyak kawasan rendah ditenggelami air.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand memaklumkan hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda Bangkok dan wilayah lain di bahagian utara, timur dan selatan pada Isnin dan Selasa (esok).
Pihak berkuasa juga mengeluarkan amaran untuk penduduk berhampiran lembangan sungai Chao Phraya dan Pa Sak.
Kerajaan turut melaksanakan pelbagai langkah pencegahan bagi menghadapi kemungkinan banjir termasuk meletakkan guni pasir serta menyediakan pam air di sepanjang tebing sungai dan kawasan rendah. – BERNAMA
Leave a Reply