PRU-15:Saifuddin Nasution beri bayangan calon PKR

SETIAUSAHA Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi bayangan akan menjadi calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Saya akan meneruskan perjuangan parti dan gembira untuk kembali bekerja dalam pasukan.

“Menghadapi PRU-15 kali ini pun saya ikut serta dengan tenang. Saya gembira bekerja secara berpasukan. Kelebihan jika ada kita manfaatkan, kekurangan pula kita saling membantu. Itulah indahnya sebuah perjuangan.

“Semoga PRU-15 kali ini menjanjikan dulang kemenangan buat PH (Pakatan Harapan),” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini, lapor Sinar Harian.

Dalam pada itu beliau yang juga Setiausaha Agung PH turut berkongsi pengalamannya sejak mula melibatkan diri dengan pilihan raya.

“Saya mula terlibat pada pilihan raya kecil Padang Terap (tahun) 1985. (Allahyarham) Tun Syed Ahmad Al Haj Syed Mahmud Shahabudin (ketika itu) dilantik jadi Gabenor (Yang Dipertua) Melaka.

“Ustaz Halim Arshat (Pas) lawan Baharom Bakar (UMNO). Tugas saya susun ceramah kelompok, edar risalah, kempen rumah ke rumah dan jaga bilik gerakan. Saya membantu calon Halim Arshat, bergerak di bawah Suhaimi Said (almarhum). Lokasi daerah mengundi (ialah) Felda Lubuk Merbau.

“Bermula dari situ tidak terhitung lagi penglibatan dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil. Sebagai jentera, pengarah dan calon semua saya dah lalui, pengalaman yang tak dapat di dewan kuliah,” ujar bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *