IBU dan bayinya maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan yang bertembung di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di Ipoh, tengah hari tadi.
Wanita berusia 23 tahun dan bayinya berusia tiga bulan yang menaiki kereta Perodua Myvi disahkan maut di lokasi kejadian.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan berhubung kejadian pada pukul 12.46 tengah hari sebelum anggota bergegas ke lokasi.
“Kemalangan membabitkan kereta Perodua Myvi dan Mercedes Benz yang bertembung.
“Terdapat tiga mangsa di dalam Perodua Myvi, seorang lelaki berusia 23 tahun cedera parah tersepit di bahagian pemandu, manakala dua mangsa lagi disahkan maut di lokasi kejadian oleh kakitangan perubatan yang tiba,” katanya dalam laporan Harian Metro.
Jurucakap itu berkata, seorang mangsa lelaki dari kereta Mercedes Benz mengalami cedera ringan.
Katanya, anggota bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan anggota (EMRS) memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum diserahkan kepada pihak kesihatan.
“Manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Keseluruhan operasi tamat pada pukul 2.54 petang,” katanya.
Leave a Reply