BEBERAPA hantaran dimuat naik ahli Parlimen seperti ‘petanda’ yang menyemarakkan lagi spekulasi pembubaran Parlimen hari ini bagi membuka laluan kepada pilihan raya umum lebih awal.
Contohanya, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi bercakap mengenai ‘anak bulan’ kelihatan di Putrajaya.
“Difahamkan anak bulan telah kelihatan dengan jelas di Putrajaya,” katanya ringkas di Facebook merujuk kepada penampakan anak bulan bermulanya Syawal sebelum Hari Raya Aidilfitri.
“Raya atau ‘pilihan raya’,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT) hari ini.
Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming pula berkira-kira sama ada beliau menghabiskan penghujung waktunya semalam sebagai Ahli Parlimen Bangi.
Kenyataan mereka dalam sosial media timbul di tengah-tengah spekulasi Parlimen akan dibubarkan.
Sumber tinggi kerajaan memberitahu FMT malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan melakukan pengumuman penting, hari ini, manakala New Straits Times pula melaporkan Ismail akan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan pembubaran Parlimen.
Ong, yang menjadi Ahli Parlimen sejak 2013 (sebelum ini mewakili Serdang yang kemudian Bangi) dalam ciapan di Twitter berbunyi:
“Malam terakhir sebagai Ahli Parlimen bagi P102 Bangi? Jika benar, menjadi penghormatan berkhidmat kepada pengundi di Balakong, Kajang dan Bangi, sejak empat setengah tahun lalu.”
Pada Mei, Ong berkata, beliau tidak bercadang menawarkan diri kembali bertanding.
Dalam ciapan itu katanya, beliau akan berkempen untuk penggantinya bagi mempertahankan kerusi itu kekal milik DAP dan Pakatan Harapan (PH) dengan membuat penandaan kepada peguam Syahredzan Johan, dalam hantarannya.
Syahredzan, yang juga setiausaha politik kepada Lim Kit Siang, secara aktif bertemu pengundi di Bangi, kawasan Parlimen terbesar di negara ini membabitkan hampir 300,000 pengundi.
Dalam perkembangan berasingan, dua menteri berkata, mereka tidak mempunyai maklumat mesyuarat Kabinet akan diadakan pada hari ini atau esok, namun soal pembubaran Parlimen merupakan perkara yang boleh diuruskan sendiri oleh Perdana Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata “perdana menteri tidak pernah bincang isu ini dengan Jemaah Menteri. Ini budi bicara perdana menteri,” katanya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, tiada keperluan bagi Perdana Menteri memanggil mesyuarat Kabinet sebelum membubarkan Parlimen.
Mengikut undang-undang, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan. Pada 2013 dan 2018, pengundian berlangsung sebulan selepas pembubaran dengan kempen berlangsung dua minggu.
Leave a Reply