Tiada isu takut hilang jawatan, Saifuddin bidas Zahid

TIADA istilah takut kehilangan jawatan dalam Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob susulan Perikatan Nasional (PN) menolak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera seperti yang didakwa Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Lapor portal BeritaBersatu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menjelaskan isu berkaitan jawatan dalam kabinet tidak pernah dibincangkan antara mereka yang berada dalam kabinet ketika ini.

Beliau menyifatkan penolakan untuk mengadakan PRU15 pada tahun ini adalah disebabkan waktunya tidak sesuai kerana rakyat berdepan dengan kemungkinan banjir.

“Saya tidak tahu, tapi sebab kami menteri daripada BERSATU dan PAS tiada isu jawatan pun, sebab jawatan ini sementara dan ia bukan milik kami.

“Kami ini wakil kepada parti sahaja, jadi kalau parti kata jadi, jadilah (menteri). Malah kami tidak pernah pun berbincang soal jawatan,” katanya selepas merasmikan persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Indera Mahkota, semalam.

Khamis lalu, Ahmad Zahid menyifatkan tindakan 12 menteri daripada PN menolak PRU15 diadakan segera kerana takut kehilangan jawatan dan kuasa masing-masing.

Ahmad Zahid mendakwa keputusan anggota kabinet daripada PN itu kerana bimbang dihukum pengundi sendiri berikutan ada dalam kalangan mereka sebelum ini bertindak melompat parti.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Menteri Luar Negeri dalam laporan itu bagaimanapun menegaskan pendirian BERSATU adalah konsisten untuk menolak PRU15 diadakan hujung tahun ini kerana berkemungkinan berlaku banjir.

Katanya, pendirian sama juga diumumkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mencadangkan agar PRU15 diadakan tahun hadapan iaitu sekitar bulan Mac.

“Begitu juga dengan Pakatan Harapan (PH), mereka juga setuju pilihan raya diadakan tahun depan, jadi sekarang ini tinggal siapa lagi yang bersungguh-sungguh tetap mahukan PRU15 segera ketika banjir?” soal beliau.

Saifuddin yang merupakan Pengerusi PN Pahang berkata, PRU15 sepatutnya dilakukan ketika rakyat berada dalam keadaan aman dan tidak terbeban dengan isu seperti banjir.

Katanya, pemilihan tarikh itu perlu dilakukan secara berhati-hati agar tidak merosakkan semangat anak muda yang dikategorikan sebagai pengundi kali pertama.

“Jadi waktu paling sesuai adalah awal Mac atau Mac tahun depan sebab suasananya aman. Kalau boleh saya hendak tanya anak muda, Undi18 dan pengundi kali pertama bila mereka mahu pilihan raya umum diadakan.

“Kalau PRU dibuat pada musim hujan ada kemungkinan banjir, mungkin pengundi yang tinggal di luar tempat mengundi berfikir berulang kali untuk balik mengundi.

“Kita tidak mahu ada perasaan gundah gulana seperti ini (kerisauan banjir) dalam kalangan rakyat melaksanakan tanggungjawab mereka. Kita sebolehnya mahu semua rakyat dapat keluar mengundi beramai-ramai, barulah dinamakan demokrasi yang sihat,” ujar beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *