Suami isteri disyaki hisap gam sudah dipanggil polis

LELAKI disyaki memandu kereta sambil menghisap gam di Lebuh Ayer Keroh menghala ke Banda Hilir, baru-baru ini, sudah dipanggil polis untuk tindakan lanjut.

Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit, tindakan pemandu berusia 33 tahun itu dikesan pihaknya kira-kira 4 petang, Jumaat lalu, menerusi video 17 saat yang dimuat naik di Instagram.

Bagaimanapun katanya, masa dan tarikh sebenar kejadian tidak dapat dipastikan, sebelum risikan dibuat Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

“Kira-kira 11 malam keesokan harinya, pihak polis kemudian pergi ke rumah di Kampung Bukit Pegoh, Pernu, dan berjumpa dengan pemilik kereta yang tular bagi membuat pemeriksaan.

“Susulan daripada itu, polis berjaya mengesan pemandu yang juga menantu kepada pemilik kereta dan dua penumpang iaitu isteri berusia 23 serta kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, lalu dibawa ke IPD Melaka Tengah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam laporan Harian Metro.

Beliau berkata, isteri pemandu itu menafikan mereka menghisap gam selain ujian saringan air kencing yang dijalankan keatas kedua-dua mereka, didapati negatif.

“Kedua-dua mereka kemudian dibebaskan sejurus soal siasat selesai dijalankan,” katanya.

Mengulas lanjut, Christopher berkata, susulan itu satu kertas siasatan dibuka mengikut Peraturan 17 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalulintas1959.

“Kertas siasatan ini akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *