BERSATU akan meletakkan calonnya untuk bertanding di kerusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, berkata hasil persetujuan bersama melalui perbincangan dengan Pas, Bersatu akan bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen Besut dan Hulu Terengganu, selain 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu berkata senarai nama calon PRU-15 sudah diserahkan kepada pucuk pimpinan dan kini dalam proses fasa akhir.
“Kita menyerahkan pemilihan calon yang bertanding kepada pucuk pimpinan yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk diperhalusi dan dimuktamadkan.
“Pemilihan calon kini sudah masuk fasa akhir bagi menentukan siapa layak bertanding mewakili Bersatu Terengganu pada PRU-15,” kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu, menurut BH.
Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata semua nama calon yang diserahkan adalah anak tempatan Terengganu dan tiada calon payung terjun akan diketengahkan.
“Kita menyenaraikan antara satu hingga tiga nama calon bagi setiap DUN dan Parlimen, namun terserah kepada pucuk pimpinan untuk memutuskan siapa yang layak bertanding atas tiket Bersatu Terengganu.
“Setakat ini, saya kekal akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu. Bagaimanapun, keputusan muktamad berhubung perkara itu akan ditentukan oleh pucuk pimpinan,” katanya.
Pada PRU-14, Rosol yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menewaskan calon Pas, Muhyidin Abdul Rashid, dan Datuk Razali Idris yang mewakili PKR ketika itu.
Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen. Pada PRU-14, BN hanya meraih 10 kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen, manakala selebihnya dimenangi Pas.
Leave a Reply