PERIKATAN Nasional (PN) berjanji akan mentadbir negara mengikut teladan yang ditunjukkan Rasulullah SAW, tanpa menyalahguna kuasa atau merompak wang rakyat jika diberi peluang mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Jaminan itu diberikan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Program Mini Karnival Pemulihan Negara dan Sambutan Maulidur Rasul Parlimen Tanjung Malim, Perak, hari ini.
“PRU akan sampai tidak lama lagi, itu (janji) akan kita tunaikan,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.
Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menyeru pemilih untuk mengundi calon-calon yang ditawarkan gabungan itu apabila tiba hari mengundi.
“Pilihlah PN supaya kita dapat mentadbir negara dengan amanah, jangan tipu, jangan rompak duit, jangan rasuah dan jangan salah guna kuasa,” katanya dalam laporan Agenda Daily.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata sambutan Maulidur Rasul mengingatkan masyarakat serta dirinya untuk kembali kepada soal asal bimbingan yang ditunjukkan baginda Rasulullah SAW.
“Sebagai bapa dan pemimpin dalam masyarakat, ini satu amanah dan tanggungjawab yang perlu saya gunakan untuk memperingatkan diri saya untuk masyarakat pentingnya kita kembali kepada soal asal bimbingan yang telah ditunjukkan contoh teladan terbaik oleh Nabi Muhammad.
“Kalau sampai kepada peringkat akhlak yang rosak, nilai hidup tidak bermakna, semua tiada pertimbangan, yang haram dihalalkan, dan perbuatan-perbuatan yang dilakukan itu tiada rasa malu,” katanya.
Hadir sama Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin; Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi, dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Rosli Abdul Rahman.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, PN akan bertanding di semua 24 kawasan Parlimen di Perak pada PRU-15 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Beliau menegaskan sebanyak mana kawasan Parlimen, sebanyak itu juga parti itu akan bertanding.
“Parlimen (di Perak) kita ada 24 kawasan, kita akan bertanding di 24 kawasan. Sebanyak mana kawasan Parlimen, sebanyak itu juga kita akan bertanding,” katanya pada sidang media selepas majlis itu.
Menurutnya keputusan pembahagian kerusi akan diputuskan tidak lama lagi antara parti-parti komponen di dalam PN.
Bagaimanapun katanya, jika terdapat kawasan tertentu yang tidak perlu bertanding, ia akan diputuskan kemudian.
“Pasal nanti kita akan putuskan pembahagian kerusi antara parti-parti… kalau ikut kiraan kasar memang ada 24 (Parlimen). Sama ada ada kawasan tertentu yang kita fikir tidak bertanding kita akan putuskan kemudian,” katanya.
Leave a Reply