Muhyiddin sindir pemimpin tiada rasa malu buat salah

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan akhlak yang runtuh menyebabkan seseorang itu tiada lagi perasaan malu apabila melakukan sesuatu yang salah tanpa ada pertimbangan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) terbabit berkata, keadaan itu mengakibatkan perkara yang haram dihalalkan dan perbuatan yang salah dilakukan pula.

“Kalau sebut akhlak itu, mestilah akhlak yang baik dan dalam situasi di negara kita ini, kita berasa cemas kerana akhlak umat kita, manusia kita, rakyat kita semakin hari semakin runtuh.

“Ini menyebabkan sudah tiada lagi rasa malu bila melakukan sesuatu yang salah. Bila sampai satu tahap, tidak rasa malu buat apa sahaja tanpa ada pertimbangan, terutama jika babitkan pimpinan masyarakat dan politik atau pun kerajaan,” katanya sebagaimana lapor Berita Harian.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dalam laporan itu berkata, sempena sambutan Maulidur Rasul hari ini, perkara yang harus ditekankan adalah bagaimana dapat memperbaiki budi pekerti dan akhlak sendiri serta kembali semula kepada asas yang telah terbina dengan agama Islam.

“Saya ambil kesempatan untuk mengingatkan diri saya sebagai pemimpin, bekas Perdana Menteri serta sebagai bapa untuk saling mengingati supaya kembali kepada asal, iaitu (rujuk) bimbingan dan contoh tauladan terbaik daripada junjungan Nabi Muhamamd SAW.

“Kalau peringkat akhlak kita sudah rosak, ia akan menyebabkan nilai hidup itu tidak bermakna lagi,” katanya.

Katanya, asas pendidikan akhlak sudah terbina sejak dididik oleh ibu bapa dan di sekolah dengan ilmu pengetahuan, termasuk berkaitan adab, budi pekerti, tatusila dan budi bahasa bagi membentuk insan berakhlak mulia.

“Ilmu amat penting untuk membolehkan kita tahu mana satu lebih baik, mana tidak baik dan mana satu yang dituntut serta ditegah agama. Jika seseorang itu memahami perkara berkenaan, maka amatlah penting dia menekankan soal akhlak yang baik sesama manusia.

“Ada pihak mengaitkan akhlak yang runtuh dengan penyalahgunaan dadah sehingga ada pihak menyalahkan ibu bapa, tidak kurang juga menyalahkan sistem pendidikan dalam negara ini,” katanya.

Muhyiddin menegaskan, apa pun sebabnya, kelemahan akhlak adalah amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja berlegar dalam kalangan anak muda, tetapi juga orang yang dewasa dan tua.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *