PELAKON dan pengacara Azira Shafinaz, 31, mendambakan lelaki yang mahu menjalinkan hubungan serius, bukannya sekadar berkawan sahaja.
Azira yang juga anggota De Fam itu juga mengakui tidak pernah meletakkan dinding pemisah untuk mana-mana lelaki yang mahu mendekatinya.
“Jujurnya, memang ada lelaki cuba mendekati saya. Tetapi, saya mendambakan lelaki yang mahu menjalinkan hubungan serius, bukannya sekadar berkawan sahaja.
“Saya baru sahaja meraikan ulang tahun ke-31 pada Isnin lalu. Antara doa dipanjatkan agar dipertemukan jodoh dengan lelaki yang serasi.
“Mungkin ramai beranggapan saya masih single disebabkan terlalu memilih. Saya bukan memilih, cuma saya penat dan malas untuk memikirkan soal jodoh lagi.
“Namun, ia tidak bermakna saya menutup pintu hati menerima lelaki dalam hidup,” ungkap aktres jelita itu kepada BH Online.
Serancak kerjaya seni semakin berkembang, begitu juga hangatnya kisah cinta Azira dengan beberapa lelaki diperkatakan sebelum ini.
Selepas hubungan dengan seorang ahli perniagaan tidak kesampaian, timbul pula gosip yang mengaitkan Azira atau nama penuhnya Azira Shafinaz Ramlan dengan aktor duda sensasi, Sharnaaz Ahmad.
Mengulas perkara itu, Azira menegaskan, dia dan Sharnaaz tidak pernah menjalinkan hubungan istimewa, sebaliknya mereka hanya rakan baik.
“Sejujurnya, saya penat apabila diajukan pertanyaan hubungan saya dengan Sharnaaz. Namun, saya lega apabila perkara ini tidak hangat diperkatakan lagi.
“Saya tahu ramai mengharapkan sesuatu daripada perhubungan ini, namun, saya dan Sharnaaz berkawan atas landasan rakan selebriti.
“Namun, perhubungan baik ini kekal hingga hari ini,” katanya lagi.
Sementara itu, pelakon filem Penunggang Agama dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa itu sekali lagi menjadi bahan perdebatan dalam media sosial apabila netizen mengecam penampilannya yang dikatakan semakin berani dan seksi.
Enggan mengeruhkan keadaan, pelakon yang mencipta populariti menerusi drama Seribu Rindu itu berkata, setiap orang boleh melemparkan apa sahaja pandangan, ini kerana dirinya tiada kudrat menghalangnya.
“Saya tiada komen soal imej makin seksi. Netizen bebas memberikan pandangan dan saya pula tidak boleh menutup mulut mereka.
“Saya sedar menerusi gambar dalam IG, netizen boleh membuat pelbagai andaian mengenai saya. Apa yang boleh saya katakan, doakan saya sahaja,” ujarnya.
Menjawab persoalan adakah merasakan imejnya banyak berubah dan semakin daring, Azira berkata, agak sukar untuknya menilai diri sendiri.
“Netizen boleh menilai saya macam-macam, tetapi agak sukar untuk saya menilai diri sendiri.
“Saya memahami situasi ini, tetapi ia tidaklah memberi saya tekanan,” ungkapnya.
Azira bakal muncul dengan filem Talbis Iblis arahan Kabir Bhatia tidak dapat menyembunyikan perasaan berdebar menantikan reaksi peminat pada 20 Oktober ini.
Leave a Reply