MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi menegaskan, beliau sama sekali tidak akan mendedahkan kepada umum apa yang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet kerana ‘’boleh masuk neraka.’’
Katanya, beliau sudah bersumpah dengan nama Allah SWT di hadapan Yang di-Pertuan Agong untuk tidak bercerita mengenai apa yang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
“Sebab saya bersumpah atas nama Allah SWT kalau saya ceritakan masuk neraka. Saya tak nak masuk neraka.Dia makan rasuah, salah guna kuasa dengan bersumpah dengan nama Allah, kemudian kita tak ikut masuk neraka,” katanya pada sidang media selepas Perasmian Hari Sukan Negara 2022, di Putrajaya, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada perkara membabit pembubaran Parlimen turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam.
Pada masa sama, Ahmad Faizal yakin biarpun Parlimen dibubarkan sebelum Bajet 2023 diluluskan, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang akan ditubuhkan selepas itu akan membentangkan satu peruntukan yang baik untuk negara.
Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang tidak bersetuju dengan tindakan 12 Menteri PN mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pendirian gabungan itu menolak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini, Faizal berkata, pihaknya perlu menyampaikan hasrat mereka kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Katanya, ketika Ahmad banyak tidak bersetuju dengan Ahli Parlimen PN, mereka juga tidak bersetuju dengan pemimpin UMNO itu.
“Ini adalah sebuah negara berdemokrasi. Kami fikir kami perlu menyampaikan hasrat dipersembahkan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong.
“Ada pihak yang tak bersetuju, ada ramai juga yang bersetuju. Jadi tak perlu kita nak bergaduh. Saya menghormati beliau dan saya fikir masing-masing boleh mengeluarkan pandangan,” katanya.
Leave a Reply