PM perlu beri ketetapan tarikh PRU-15:Muhyiddin

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PENGERUSI Pakatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu berani menyatakan tarikh atau memberi ketetapan sebenar bila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, Ismail Sabri wajar membuat pengumuman berkenaan tarikh PRU-15 sama ada akan diadakan dalam masa terdekat atau ditangguhkan.

“Perdana Menteri tidak perlu mendengar nasihat daripada Top 5 UMNO yang mahukan PRU-15 segera diadakan kerana mereka bukan kerajaan.

“Kerajaan perlu buat keputusan (tetapkan tarikh PRU15), Perdana Menteri perlu buat keputusan. ‘So’ sebaik mungkin bagi ketepatan, Perdana Menteri boleh beritahu tidak adakan PRU sehingga tak lebih awal dari Mac tahun depan, boleh tak buat gitu, maknanya boleh buat, rakyat akan kata Perdana Menteri faham situasi buruk.

“Selepas banjir bubar Parlimen antara bulan April, Mei atau Jun, kan molek begitu, ada lagi masa,” katanya dalam sidang akhbar selepas Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh di Dewan Geliga, pekan Gersik, Tangkak hari ini.

Muhyiddin yang juga Ketua Bersatu Bahagian Pagoh berkata, ketika ini tidak diketahui sama ada Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan untuk membubarkan Parlimen selepas Ismail Sabri mengadap baginda pada Khamis.

Ahli Parlimen Pagoh itu memberitahu, PN kekal dengan pendirian untuk tidak mahu PRU-15 diadakan dalam masa terdekat kerana ada perkara lebih penting dan utama ketika ini.

Beliau memahami bahawa PRU perlu diadakan kerana sudah ditetapkan dalam Perlembagaan pada setiap lima tahun tetapi penggal pilihan raya lalu masih belum tamat dan berbaki beberapa bulan lagi.

“Perkara kedua adalah soal banjir. Ada orang yang sinikal dengan kenyataan saya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kata ada ke banjir? Di Johor Bahru sudah banjir, kawasan Datuk Seri Ahmad Maslan pun dah banjir (Pontian), jadi jangan nak perli tak tentu arah. Itu realitinya jadi itu isu penting,” katanya.

Menurutnya, semua pihak sudah tahu banjir akan berlaku setiap tahun dan situasi banjir kebelakangan ini amat buruk dengan jumlah banyak kerosakan harta benda dan mangsa yang terkorban.

“Takkan kita nak abaikan perkara itu. Bayangkan ada PRU, ada hujan lebat, hari nak mengundi orang tak boleh keluar mengundi, padahal itu hak mereka. Mereka mahu tunai tanggungjawab, nak angkut (pengundi) pakai kenderaan biasa tak boleh, naik motosikal, motosikal hanyut, naik bot, bot hanyut, nak pakai bomba, bomba tak cukup,” ujar beliau.

PRU15 juga tidak sesuai diadakan ketika ini katanya, kerana terdapat tiga negeri pembangkang yang tidak setuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tambahnya, keadaan tersebut akan menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menanggung kos pilihan raya negeri sebanyak RM2 bilion.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *