Pengamal ilmu kebatinan sesat di Pulau Besar

SEORANG wanita penjual sayur yang juga pengamal ilmu kebatinan bertapa seorang diri di Pulau Besar di Melaka, tersesat di pulau tersebut.

Namun wanita itu bernasib baik apabila berjaya menghubungi pasukan penyelamat sebelum diselamatkan pada pukul 10.45 malam kelmarin, berhampiran sebuah gua di situ.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati wanita berusia 37 tahun yang meniaga di pasar malam itu sudah beberapa kali datang sendirian ke Pulau Besar bagi tujuan perubatan yang mensyaratkannya mengelilingi pulau berkenaan enam kali.

Menurutnya, pada hari kejadian mangsa bercadang bermalam di Surau Pulau Besar bagi tujuan perubatan batin dan mengelilingi pulau itu buat kali keempat.

“Siasatan mendapati wanita itu pergi ke Pulau Besar menaiki bot nelayan melalui Jeti Anjung Batu, Merlimau jam 8 pagi kelmarin dan memberitahu nelayan akan pulang pagi ini (semalam).

“Awalnya dia bercadang berjalan mengelilingi Pulau Besar mulai tengah hari sehingga senja sebelum bermalam di Surau Pulau Besar.

“Ketika berjalan menuruni kawasan bukit berbatu di Gua Yunus pulau itu, mangsa hilang arah sebelum menelefon MERS (Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia) 999 untuk bantuan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Menurut Christopher mangsa berasal dari Bukit Rambai, Melaka, ditemui pasukan penyelamat pada pukul 10.45 malam sebelum dibawa ke Jeti Anjung Batu, Merlimau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *