WALAUPUN diberi kata dua oleh UMNO sama ada memilih parti itu atau Perikatan Nasional (PN) namun Pas tegas dengan pendiriannya untuk meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan ‘komitmen’ ketiga-tiga parti teras Melayu tersebut bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Keputusan Pas itu ditegaskan oleh Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan hari ini selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat di Kuala Lumpur.
Mesyuarat itu menjadi tumpuan arena politik memandangkan Pas dikatakan akan membuat keputusan siapa yang akan parti tersebut pilih untuk berganding dalam PRU-15.
Bagaimanapun Abdul Hadi dalam kenyataan itu menegaskan, usaha penyatuan itu bukan sahaja bagi menghadapi PRU-15 tetapi juga seterusnya menjamin kestabilan negara selepas PRU nanti.
‘’ Pas berpandangan perlu ada ‘keanjalan’ dalam rundingan dengan pihak UMNO dan Bersatu, termasuklah berkenaan syarat-syarat yang dikemukakan dan rundingan kerusi yang sedang diusahakan,’’ katanya.
Sebelum ini, Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi memberi kata dua kepada Pas untuk memilih parti atau Bersatu.
Zahid juga pada sidang media di Melaka memberi tiga syarat kepada Pas jika mahu bekerjasama dengan UMNO iaitu Pas perlu keluar daripada gabungan PN, memutuskan politik dengan Bersatu dan mengisytiharkan secara rasmi mufarakah sepenuhnya dengan PN.
Mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Abdul Hadi berkata, Pas yang menerajui kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan membangkitkan tentang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh terdekat.
‘’Ia bagi menumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pada pertengahan November sehingga Mac 2023, di samping usaha dan langkah pemulihan ekonomi pasca COVID-19,’’ katanya
Leave a Reply