Muhyiddin bimbang selepas bentang bajet tapi tak dibahas pula

SPEKULASI pembubaran Parlimen pada masa terdekat bagi memberi laluan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) menyebabkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bimbang sekiranya Bajet 2023 yang dibentang semalam tidak akan dibahaskan.

Bekas Perdana Menteri Kelapan itu berkata sekiranya tiada perbahasan kerana Parlimen dibubarkan bakal menyebabkan pelbagai tanggapan boleh dibuat sama ada ia belanjawan untuk rakyat atau sekadar gula-gula pilihan raya daripada kerajaan.

“Saya takut nanti jangan pula lepas bentang bajet tak bahas, susah nak ramal. Kalau tak bahas pula saya tak boleh nak andaikan ini bajet apa.

“Tapi kalau dibahaskan sampai lulus pun selepas itu pilihan raya diadakan, macam mana keadaan?” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Bahagian Bersatu Pagoh di Dewan Geliga, Tangkak, hari ini.

Jelas Muhyiddin, sekiranya bajet terbesar dalam sejarah negara dibentangkan semalam tidak dibahaskan sukar untuk menjangkakan sama ada ia realistik dan atau tidak boleh dilaksanakan kerana keadaan yang mencabar sedang dihadapi negara ketika ini

“Berapa kerajaan harus pinjam hanya nak menampung pembayaran gaji, operating expenditure (perbelanjaan operasi), dari segi dasar fiskal, itu tidak baik.

“Ya, bermakna kita terpaksa pinjam sana pinjam sendiri, cari mana untuk bayar gaji. Pasal gaji bukan berkurangan, pencen tidak berkurangan.

“Ia meningkat dan bertambah setiap tahun. tapi hasil negara? Merosot,” katan yang juga Ahli Parlimen Pagoh.

Bagaimanapun, Muhyiddin sedikit sangsi sama ada belanjawan negara yang dibentangkan semalam dapat dilaksanakan pada ketika negara diramal berdepan kemelesetan pada tahun depan.

“Ekonomi agak merosot, walaupun disebut pertumbuhan tapi Menteri Kewangan pun kata kalau tahun ini lapan peratus, tahun depan sudah merosot.

“…tapi saya kurang pasti sama ada itu boleh dibuat,” katanya lagi.

Dalam Bajet 2023, sebanyak RM94.3 bilion telah diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan, yang tertinggi setakat ini, berbanding peruntukan untuk 2022 sebanyak RM71.2 bilion.

Di bawah perbelanjaan ini, peruntukan yang disalurkan kepada pertumbuhan ekonomi meningkat dua peratus, mengambil hampir satu perlapan daripada jumlah perbelanjaan pembangunan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *