PRU-15 tahun ini ganggu jadual akademik pelajar, pendidik – PKR

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tahun ini akan mengganggu keseluruhan jadual akademik dan peperiksaan penting yang sudah dirancang, selain persiapan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Malah jika pilihan raya tetap dilaksanakan antara sekarang hingga Disember depan, pihak sekolah terpaksa menjadualkan semula aktiviti akademik dengan beberapa ujian dan peperiksaan amali terpaksa ditunda hingga tahun depan.

Lapor Berita Harian, Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan berkata, beberapa ujian dan peperiksaan lisan, ujian bacaan al-Quran serta peperiksaan amali Sains SPM sudah dijadualkan pada awal Oktober hingga pertengahan November depan.

Beliau berkata, pada bulan depan, akan berlangsung peperiksaan percubaan SPM dan guru akan menggunakan cuti sekolah Disember untuk memeriksa jawapan dan membuat analisis.

“Malah, pendidik akan mengenal pasti kelemahan pelajar yang perlu dibaiki sebelum peperiksaan bertulis SPM sebenar diduduki,” katanya hari ini.

Amidi dalam laporan itu turut mengingatkan, perlu diberi perhatian adalah sebahagian petugas pilihan raya membabitkan warga pendidik dan jika PRU15 diadakan tahun ini, tumpuan masa dan tugas mereka sudah tentu akan terganggu.

“Situasi ini akan menyusahkan warga pendidik dan berkemungkinan memerlukan kos tambahan,” katanya.

Pada 30 September lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat ketetapan supaya PRU-15 diadakan pada tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dipetik berkata, susulan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Dewan Rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya lagi, keputusan mesyuarat itu berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik COVID-19, selepas runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *