Mekanik maut digilis jentolak di tapak lombong

SEORANG mekanik maut digilis jentolak ketika sedang membaiki jentera berat itu dalam kejadian di sebuah tapak lombong bijih besi di Bukit Besi, di Dungun pukul 6 petang semalam.

Mangsa, Kong Hon Meng, 63, yang beralamat di Negeri Sembilan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan pada bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati mangsa berada di atas roda berantai jentolak (buldozer) itu berseorangan ketika sedang membaiki jentera berat itu.

“Siasatan mendapati insiden itu berlaku ketika mangsa cuba menghidupkan jentera itu menggunakan ‘jumper’, namun ia tiba-tiba hidup lalu bergerak ke hadapan.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa terjatuh ke tanah lalu digilis oleh jentera terbabit,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Menurut Baharudin, beberapa rakan mangsa yang menyedari insiden itu bertindak memberhentikan jentera tersebut.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *